Berita Terkini
Mengundi Untuk Masa Depan, Pilih Pemimpin Yang Amanah - Fahmi
KUALA PILAH, 31 Julai (Bernama) -- Pengundi perlu memilih pemimpin yang betul dan amanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi memastikan negeri itu terus ditadbir dengan baik, kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata mengundi adalah untuk menentukan masa depan dan setiap undi yang diberikan akan menentukan hala tuju pentadbiran negeri, termasuk memastikan wang rakyat diurus secara berhemah serta pembangunan dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
“Sekiranya kita pilih pemimpin yang betul, maka baiklah pengakhirannya. Kalau kita pilih pemimpin yang tidak betul, tidak amanah, maka akan berlaku macam-macam masalah di kemudian hari.
“Kita nak duit rakyat dijaga dengan baik. Kita nak pembangunan dilakukan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas program pelepasan Jelajah Anak Muda di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah, di sini, hari ini.
Mengulas suasana kempen, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata sambutan diterima calon PH di lapangan adalah positif, meskipun pelbagai naratif dan dakwaan dimainkan menerusi media sosial.
Beliau berkata berdasarkan pemerhatiannya ketika turun berkempen di beberapa kawasan, keterujaan rakyat untuk menunaikan tanggungjawab mengundi semakin jelas apabila anak-anak perantauan mula pulang ke kampung.
“Laluan dari Seremban ke Kuala Pilah sudah mula sesak sejak tengah hari tadi. Apabila saya bertanya kepada saudara-mara dan ahli keluarga yang tinggal di sini, mereka memaklumkan ramai yang masih dalam perjalanan atau sudah berada di kampung. Jadi saya melihat semangat untuk keluar mengundi kali ini agak baik dan positif,” katanya.
Bagaimanapun, Fahmi menyeru anak-anak Negeri Sembilan yang masih berada di perantauan untuk pulang menunaikan tanggungjawab mengundi esok.
Sebanyak 859,760 pemilih berdaftar, termasuk 7,391 pengundi pos akan terlibat dalam proses pengundian bagi memilih wakil rakyat di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
PH bertanding di semua 36 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional (25), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24), Perikatan Nasional (11) dan empat calon Bebas, manakala Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing menampilkan seorang calon.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Jemaah Menteri Tak Pernah Bantah Kerajaan Laksana Program Untuk Islam, Melayu - Anwar
- Pengundi DUN Jeram Padang Digesa Keluar Awal Untuk Mengundi - Fahmi
- Anwar, Pemimpin PH Sampai Amanat Akhir Menerusi Tiktok
- PRN NS: Anwar Gesa Jentera PH Manfaatkan Baki Tempoh Berkempen, Fokus Buat Kerja
- PRN NS: Pengundi Digalak Ikut Waktu Yang Disyorkan, Dilarang Guna Telefon Bimbit Ketika Undi