Berita Terkini
Jemaah Menteri Tak Pernah Bantah Kerajaan Laksana Program Untuk Islam, Melayu - Anwar
JEMPOL, 31 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Jemaah Menteri tidak pernah membantah sebarang cadangan untuk melaksanakan program berkaitan Islam atau Melayu sepanjang lebih tiga tahun setengah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata kesemua menteri daripada pelbagai latar belakang parti dan kaum termasuk UMNO, DAP, PKR, Amanah serta wakil Sabah dan Sarawak sentiasa memberikan kerjasama erat tanpa pernah menghalang sebarang usaha mempertahankan hak serta kebajikan umat Islam dan orang Melayu.
“Saya belum pernah dengar tiga tahun setengah lebih saya jadi Perdana Menteri… tak sekalipun dalam Jemaah Menteri ada bantahan untuk bawa program Islam atau Melayu.
“Sebab itu, saya bagi tahu kawan-kawan yang Melayu, kalau ada program-program Cina atau India atau Iban atau Kadazan, kita bagi sikap yang sama... kalau tidak salah, (perkara yang) baik, kita jangan halang kerana mereka itu juga warganegara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dekat Bahau di sini malam ini, yang turut dihadiri calon PH bagi DUN itu, G. Manivannan.
Mengulas mengenai pentadbiran negara, Presiden PKR itu berkata Kerajaan Perpaduan komited mempertahankan tatakelola bersih, menangani isu rasuah dan memastikan kebajikan rakyat pelbagai lapisan terus terbela.
Dalam pada itu, Anwar menyeru pengundi untuk terus memberikan sokongan kepada calon-calon PH demi memastikan hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sembilan dapat diteruskan.
“Kalau Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sembilan ini seiring, mudah kerja... jadi, itu untuk siapa? Untuk kebaikan rakyat," kata beliau.
Esok, seramai 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos akan terlibat dalam proses pengundian bagi memilih wakil rakyat baharu di 36 kerusi DUN.
PH bertanding di semua 36 kerusi DUN diikuti Barisan Nasional (25), Bersatu (24), Perikatan Nasional (11) dan empat calon Bebas manakala Berjasa, ASLI dan Parti Sosialis Malaysia masing-masing menampilkan seorang calon.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Pengundi DUN Jeram Padang Digesa Keluar Awal Untuk Mengundi - Fahmi
- Anwar, Pemimpin PH Sampai Amanat Akhir Menerusi Tiktok
- Mengundi Untuk Masa Depan, Pilih Pemimpin Yang Amanah - Fahmi
- PRN NS: Anwar Gesa Jentera PH Manfaatkan Baki Tempoh Berkempen, Fokus Buat Kerja
- PRN NS: Pengundi Digalak Ikut Waktu Yang Disyorkan, Dilarang Guna Telefon Bimbit Ketika Undi