Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 31/07/2026 11:07 PM

Pengundi DUN Jeram Padang Digesa Keluar Awal Untuk Mengundi - Fahmi

Pengundi DUN Jeram Padang Digesa Keluar Awal Untuk Mengundi - Fahmi
fb Fahmi Fadzil

JEMPOL, 31 Julai (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) menggesa pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang supaya keluar awal menunaikan tanggungjawab esok dan memberikan sokongan kepada calon gabungan berkenaan G. Manivannan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Dalam ucapan pada malam terakhir sebelum tempoh kempen tamat pada 11.59 malam ini, Pengarah Komunikasi PH Datuk Seri Fahmi Fadzil menggesa penyokong untuk mengajak ahli keluarga dan saudara-mara mengundi gabungan itu.

"Pertama, malam ini beritahu semua ahli keluarga kita, sanak saudara kita undi Harapan. Yang kedua, esok pagi keluar awal pergi mengundi. Undi calon nombor dua (Manivannan)," katanya pada program Grand Finale Kekal Harapan di Bahau di sini.

Ketua Penerangan PKR itu berkata Manivannan, sebagai anak tempatan yang berpengalaman dan memiliki rekod sebagai wakil rakyat yang rajin bekerja, mampu membawa pembangunan kepada Jeram Padang.

Beliau berkata prestasi pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun sepanjang lapan tahun menerajui negeri itu juga perlu menjadi asas untuk pengundi terus memberikan mandat kepada PH.

Fahmi berkata Negeri Sembilan mencatat peningkatan hasil negeri, pelaburan dan kutipan zakat selain pembinaan masjid yang disifatkan paling banyak berbanding pentadbiran terdahulu.

Beliau berkata gabungan kepimpinan Aminuddin dan Manivannan diyakini mampu membawa pembangunan yang lebih baik kepada Jeram Padang serta Negeri Sembilan.

Pada masa sama, Menteri Komunikasi itu mengingatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan menghentikan aktiviti berkempen sebaik tempoh kempen berakhir tengah malam ini.

"Saya akan minta supaya pasukan pantau juga dalam TikTok... dalam TikTok pun kena stop berkempen tapi saya tak tahulah kalau SPR ada mengikuti kempen-kempen yang berlaku dalam TikTok.

"Kita mengharapkan kempen dalam TikTok berjalan dengan baik, berjalan dengan sihat, berhujah dengan fakta," katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan penyebaran maklumat palsu di media sosial dan aplikasi WhatsApp sepanjang tempoh kempen pilihan raya selain menyemak kesahihan sesuatu maklumat melalui media arus perdana serta portal berita yang dipercayai sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

"Saya minta tuan-tuan, puan-puan semak dengan media rasmi seperti RTM, Bernama, TV3, Astro Awani, Berita Harian, NST, The Star, Malaysia Gazette, Agenda Daily, Makkal Ossai, Sin Chew, Nanyang dan macam-macam lagi.

"Sekiranya maklumat yang kita dapat dalam WhatsApp terutamanya tidak matching dengan maklumat yang ada dalam portal-portal berita maka berwaspadalah dan buatlah laporan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya kita boleh kenal pasti maklumat ini sahih ataupun tidak," katanya.

Proses pengundian bagi PRN Negeri Sembilan esok akan menyaksikan sebanyak 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat di 36 kerusi DUN.

Pada Selasa lepas, sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Pada PRN kali ini, PH bertanding di semua 36 kerusi DUN diikuti Barisan Nasional (BN) (25), Bersatu (24), Perikatan Nasional (PN) (11) dan empat calon Bebas manakala Berjasa, ASLI serta Parti Sosialis Malaysia masing-masing menampilkan seorang calon.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-15, PH memenangi 17 kerusi diikuti BN (14) dan PN (lima).

Untuk berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA