Berita Terkini
PRN NS: Pengundi Digalak Ikut Waktu Yang Disyorkan, Dilarang Guna Telefon Bimbit Ketika Undi
SEREMBAN, 31 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pengundi supaya keluar lebih awal atau mengikut masa yang disyorkan selain mematuhi larangan penggunaan telefon bimbit dan membawa atau memakai bahan berunsur kempen pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, yang berlangsung esok.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idris berkata mereka digalakkan keluar mengikut masa seperti yang tertera dalam aplikasi MySPR Semak bagi mengelakkan kesesakan pada saat akhir namun masih boleh mengundi mengikut kelapangan masing-masing dari 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat yang diwartakan.
Beliau berkata pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan bagi tujuan pengesahan identiti selain tidak menyerahkan dokumen itu kepada mana-mana pihak selain petugas pilihan raya.
Mengenai tatacara di saluran mengundi, SPR menegaskan penggunaan telefon bimbit tidak dibenarkan dan pengundi yang membawa peranti itu perlu meletakkan ia di tempat disediakan selepas menerima kertas undi sebelum mengambilnya semula setelah selesai.
“Tatacara baharu itu diperkenal bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar selain memelihara kerahsiaan undi setiap pengundi.
“Selain itu, semua pengundi, calon dan petugas yang memasuki pusat mengundi dilarang memakai baju, topi atau pelitup separuh muka yang mempunyai nama, lambang, simbol atau gambar parti politik atau calon bertanding selain membawa sebarang bahan kempen termasuk slogan yang menjurus kepada sokongan terhadap mana-mana parti politik,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Shahril berkata kegagalan mematuhi peraturan itu boleh menyebabkan seseorang pengundi tidak dibenarkan memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya.
Dalam pada itu, SPR mengingatkan semua parti dan calon bahawa tempoh rasmi berkempen akan berakhir pada 11.59 malam ini dan selepas itu, semua bentuk aktiviti berkempen termasuk merayu undi di luar pusat mengundi serta menerusi platform media sosial hendaklah dihentikan.
Barung parti juga dilarang dibuka, dibina atau diselenggara pada hari mengundi kerana perbuatan itu adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa sebanyak 15,344 petugas akan mengendalikan proses pengundian di 401 pusat mengundi.
PRN Negeri Sembilan ke-16 esok akan melibatkan sejumlah 859,760 pengundi biasa yang layak mengundi selepas proses pengundian awal berlangsung pada Selasa membabitkan 16,467 anggota keselamatan dan pasangan.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Mengundi Untuk Masa Depan, Pilih Pemimpin Yang Amanah - Fahmi
- PRN NS: Anwar Gesa Jentera PH Manfaatkan Baki Tempoh Berkempen, Fokus Buat Kerja
- Laporan Penuh RCI Tabung Haji Didedah Secara Telus, Tanpa Tapisan - Anwar
- PRN NS: Anwar Seru Pengundi Keluar Mengundi, Beri Peluang PH Teruskan Agenda Kestabilan
- RM328 Juta Untuk Laksana 24 Projek Pembangunan Kesihatan Di Negeri Sembilan