Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 31/07/2026 07:50 PM

PRN NS: Anwar Gesa Jentera PH Manfaatkan Baki Tempoh Berkempen, Fokus Buat Kerja

PRN NS: Anwar Gesa Jentera PH Manfaatkan Baki Tempoh Berkempen, Fokus Buat Kerja
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika menghadiri Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (Kibar) Peringkat Negeri Sembilan 2026 di Dewan Orang Ramai Pasir Panjang. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PORT DICKSON, 31 Julai (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa jentera kempen Pakatan Harapan (PH) untuk memanfaatkan baki tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 untuk terus bekerja dan bukannya terlalu memberi tumpuan kepada pelbagai ramalan keputusan pilihan raya.

Beliau yang juga Pengerusi PH berkata ketika ini terdapat enam tinjauan yang membuat ramalan mengenai keputusan PRN, namun hasilnya berbeza-beza.

“Enam survey (tinjauan), enam keputusan, sekarang ada masa, kerja dulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (Kibar) Negeri Sembilan 2026, di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai unjuran Ilham Centre yang meramalkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara gabungan berpotensi menguasai 22 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Menurut pusat kajian itu, PH pula dijangka memenangi sekurang-kurangnya sembilan kerusi pada PRN yang akan berlangsung esok.

Ditanya mengenai keyakinan PH untuk memenangi kerusi DUN pada PRN kali ini, beliau berkata adalah lebih baik untuk melihat perkembangan kempen ketika ini dan bekerja dalam tempoh yang masih ada sebelum keputusan sebenar diketahui.

Esok, 1 Ogos, sebanyak 859,760 pemilih berdaftar, termasuk 7,391 pengundi pos, akan terlibat dalam proses pengundian bagi memilih wakil rakyat di 36 kerusi DUN.

PH bertanding di semua 36 kerusi DUN, diikuti BN (25), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24), PN (11) dan empat calon Bebas, manakala Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing menampilkan seorang calon.

Sementara itu, Anwar ketika berucap pada majlis berkenaan menyeru rakyat supaya menghayati bulan kebangsaan dan menyambutnya dengan penuh semangat serta keinsafan.  

Beliau berkata kemerdekaan bukan sekadar membebaskan negara daripada penjajahan sebaliknya membawa tanggungjawab kepada setiap rakyat khususnya generasi muda untuk mempertahankan keamanan, kestabilan dan perpaduan yang dinikmati hari ini.

“Rahsia negara kita aman ialah politik yang stabil, kerjasama semua kaum yang ada di sini, Melayu, Cina, India, semua sepakat. Jadi anak-anak remaja punya tanggungjawab. Anda perlu pertahankan keamanan ini, pertahankan kerjasama,” kata beliau.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

— BERNAMA