Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 31/07/2026 09:09 PM

Anwar, Pemimpin PH Sampai Amanat Akhir Menerusi Tiktok

Anwar, Pemimpin PH Sampai Amanat Akhir Menerusi Tiktok
Kredit: FB Anwar Ibrahim

SEREMBAN, 31 Julai (Bernama) -- Berbaki beberapa jam sebelum tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir pada 11.59 malam ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memanfaatkan platform media sosial bagi menyampaikan perutusan terakhir untuk merayu sokongan para pengundi.

Selain Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), perutusan itu turut menampilkan Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke serta disiarkan menerusi siaran langsung di TikTok PH Official.

Anwar turut dijadual menyertai program Grand Finale Kekal Harapan di Bahau, yang menjadi pentas terakhir kempen PH bagi PRN Negeri Sembilan ke-16.

Ia turut dihadiri Pengarah Komunikasi PH Datuk Seri Fahmi Fadzil, barisan kepimpinan dan calon PH yang bertanding.

Proses pengundian bagi PRN kali ini, yang berlangsung esok, menyaksikan sebanyak 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos bakal menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selasa lepas, sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Pada PRN kali ini, PH bertanding di semua 36 kerusi DUN diikuti Barisan Nasional (25), Bersatu (24), Perikatan Nasional (11) dan empat calon Bebas manakala Berjasa, Parti Orang Asli Malaysia serta Parti Sosialis Malaysia masing-masing menampilkan seorang calon.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

PRN Negeri Sembilan ke-15 menyaksikan PH memenangi 17 kerusi DUN diikuti BN (14) dan Perikatan Nasional (lima).

Untuk berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA