Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 19/11/2026 09:40 PM

Perkembangan Di Negeri Sembilan Serlah Kepentingan Jaminan Perlembagaan - Tunku Ali Redhauddin

Perkembangan Di Negeri Sembilan Serlah Kepentingan Jaminan Perlembagaan - Tunku Ali Redhauddin
Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Perkembangan mutakhir di Negeri Sembilan selepas mengharungi tahun yang mencabar menyerlahkan betapa pentingnya peruntukan Perlembagaan dan perlindungan yang termaktub dalam menyelesaikan isu berkaitan institusi negeri, titah Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Baginda bertitah usaha untuk menyelesaikan kemelut di negeri berkenaan merupakan sesuatu yang amat dialu-alukan.

“Pengalaman lalu menyedarkan bahawa peruntukan Perlembagaan yang kebanyakan kita tidak ambil masa untuk membacanya sebenarnya perkara paling penting apabila diperlukan, sama seperti klausa standard yang terkandung dalam sesuatu kontrak.

“Beta bertitah hari ini atas kapasiti peribadi, namun pada masa sama, tetap selaku anakanada kepada ayahanda (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir).

“Tidak wajar untuk beta mengemukakan hujah mengenai perkara itu dari podium ini dan tidak akan berbuat demikian,” titah baginda dalam ucaptama bertajuk “Fiscal Federalism in Malaysia: Rebalancing Revenue, Responsibility and Regional Development” pada Malaysia Legal Forum 2026 di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai kerangka fiskal negara, Tunku Ali Redhauddin bertitah Perlembagaan Persekutuan menetapkan pelbagai tanggungjawab kepada kerajaan negeri, namun sumber hasil yang terhad menyebabkan kebergantungan tinggi terhadap peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

Baginda bertitah cukai pendapatan, cukai korporat, cukai jualan dan perkhidmatan, duti kastam serta hasil petroleum terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, manakala penyaluran dana Persekutuan kepada kesemua 13 negeri hanya merangkumi kira-kira tiga peratus daripada belanjawan Persekutuan.

Keadaan berkenaan membataskan keupayaan kerajaan negeri untuk membiayai projek pembangunan serta melaksanakan tanggungjawab, justeru jaminan yang termaktub dalam Perlembagaan perlu dihormati dan setiap negeri diberikan layanan adil.

Meskipun mengakui kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia, baginda menegaskan negeri-negeri lain juga wajar dilayan secara adil dan saksama, tanpa mengambil kira gabungan politik yang menerajui pentadbiran.

Tunku Ali Redhauddin turut mencadangkan pemberian dividen kepada negeri yang menjadi lokasi kutipan hasil, menerusi penetapan bahagian tertentu daripada peningkatan hasil cukai Persekutuan yang dikutip di wilayah masing-masing, selain memberi lebih kelonggaran dalam urusan pinjaman dan meningkatkan penyaluran pindahan fiskal ekologi.

Baginda bertitah Majlis Kewangan Negara perlu mengadakan mesyuarat lebih kerap, selain pemberian geran Persekutuan ditentukan berdasarkan formula yang jelas, telus dan boleh diakses umum, serta mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya geran bebas.

“Persekutuan yang matang bukan bermaksud Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak pernah berbeza pendapat, sebaliknya kematangan itu terserlah apabila perbezaan pendapat ditangani menerusi institusi yang diyakini, manakala setiap janji ditunaikan walaupun dalam keadaan yang tidak memihak kepada pelaksanaannya,” titah baginda.

Tunku Ali Redhauddin bertitah sebuah persekutuan yang kukuh memerlukan kerajaan Persekutuan yang berkeupayaan serta kerajaan negeri yang diperkasakan, di samping kuasa fiskal menjadi asas penting bagi membolehkan negeri melaksanakan tanggungjawab serta dipertanggungjawabkan atas amanah yang diberikan.

-- BERNAMA