Berita Terkini
Banjir: Mangsa Di Selangor Meningkat, Perak Berkurangan
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat pagi ini berbanding semalam manakala Perak mencatatkan penurunan.
Di SELANGOR, jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 1,583 orang daripada 416 keluarga pagi ini, berbanding 1,392 orang daripada 372 keluarga petang semalam.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 369 orang, diikuti SK Parit Mahang (338), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (238), Dewan Masjid An Naim Kampung Jalan Kebun (219), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (103) dan SK Sungai Binjai (101).
Selain itu, Dewan Orang Ramai Seri Harmoni menempatkan 63 mangsa, Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (58), SRA Batu 8 Ijok (43), Dewan Orang Ramai Kampung Jaya Sepakat (31) dan SK Batu Arang (20).
Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir yang berlindung di lapan PPS di lima daerah berkurangan kepada 681 orang daripada 239 keluarga pagi ini berbanding 701 orang daripada 241 keluarga petang semalam.
Perak Tengah menjadi daerah terbaru dilanda banjir dengan pembukaan dua PPS sejak semalam iaitu di SK Dato’ Sagor yang menempatkan 22 mangsa daripada lima keluarga, manakala SK Tanjung Belanja menempatkan 40 mangsa daripada 23 keluarga.
Di daerah Larut, Matang dan Selama, sebanyak 207 mangsa daripada 79 keluarga masih berlindung di PPS SK Batu Hampar dan SK Matang, manakala di Manjung, 131 mangsa daripada 39 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai.
Di Hilir Perak pula, sebanyak 108 mangsa daripada 34 keluarga masih berlindung di PPS, manakala di Kerian, 161 mangsa daripada 56 keluarga termasuk 12 mangsa tanah runtuh daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS SK Bukit Merah dan SK Parit Haji Aman.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut dan hujan pada sebelah petang dan malam di semua daerah di Perak.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Perak merekodkan paras air Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah, Kerian pada 9.18 meter, melebihi paras bahaya berbanding paras normal 8.68 meter.
Di NEGERI SEMBILAN, dua PPS dibuka di daerah Port Dickson iaitu Balai Raya Kampung Jimah Lama dan Balai Raya Kampung Linggi yang menempatkan 61 mangsa daripada 17 keluarga pagi ini meningkat sedikit berbanding semalam 60 mangsa.
Berdasarkan data InfoBencana JKM, mangsa terdiri daripada 18 lelaki, 15 wanita dan 28 kanak-kanak termasuk seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU), manakala keadaan mangsa di PPS dilaporkan baik.
-- BERNAMA
Berita Lain
- SUK Tidak Terima Makluman, Surat Peletakan Jawatan Menteri Besar Setakat Ini
- JPNS Rangka Empat Teras Pelaksanaan Modul Aulad Sejahtera 2026
- Mangsa Banjir Di Selangor, Negeri Sembilan Meningkat, Jumlah Di Perak Berkurangan Setakat Petang Ini
- Status Peletakan Jawatan, Calon MB Negeri Sembilan Tunggu Pengumuman Istana - Ahmad Zahid
- JKDM Rampas Arak Tiruan Bernilai Lebih RM1.05 Juta Di Semenyih