Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 19/11/2026 06:30 PM

Jumlah Mangsa Banjir Di Perak, Negeri Sembilan Menurun, Selangor Meningkat Setakat Petang Ini

Jumlah Mangsa Banjir Di Perak, Negeri Sembilan Menurun, Selangor Meningkat Setakat Petang Ini

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Perak dan Negeri Sembilan mencatatkan penurunan petang ini, Selangor merekodkan peningkatan manakala sebuah PPS baharu dibuka di Pahang.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir menurun kepada 666 orang daripada 236 keluarga setakat petang ini berbanding 681 orang daripada 239 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan kesemua mangsa dari lima daerah terjejas ditempatkan di lapan PPS.

Larut Matang dan Selama mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 182 orang daripada 68 keluarga yang berlindung di dua PPS, diikuti Kerian dengan 166 orang daripada 57 keluarga di dua PPS.

Manjung pula merekodkan 131 mangsa daripada 39 keluarga, Hilir Perak (97 mangsa daripada 31 keluarga) dan Perak Tengah (90 mangsa daripada 41 keluarga).

Di NEGERI SEMBILAN, jumlah mangsa banjir di dua PPS di daerah Port Dickson menurun kepada 41 orang daripada 12 keluarga petang ini berbanding 61 orang daripada 17 keluarga pagi tadi.

Berdasarkan data InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa terdiri daripada 14 lelaki, 10 wanita dan 17 kanak-kanak.

Sementara itu, di SELANGOR, jumlah mangsa meningkat kepada 1,665 mangsa daripada 444 keluarga di 11 PPS petang ini berbanding 1,583 mangsa daripada 416 keluarga pagi tadi.  

Menurut portal InfoBencana JKM, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Maharaja Lela menempatkan 394 mangsa diikuti SK Parit Mahang (367), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (239), Dewan Masjid An Naim Kampung Jalan Kebun (179), SK Sungai Binjai (145) dan Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (130).

Lima lagi PPS ialah Dewan Orang Ramai Seri Harmoni yang menempatkan 59 mangsa, Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (58), SRA Batu 8 Ijok (43), Dewan Orang Ramai Kampung Jaya Sepakat (31) dan SK Batu Arang (20).

Di PAHANG, sebuah PPS dibuka di daerah Bentong pagi tadi bagi menempatkan 163 mangsa daripada 50 keluarga yang terjejas akibat banjir. 

Portal InfoBencana JKM memaklumkan mereka ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia. 

-- BERNAMA