Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 18/11/2026 06:46 PM

JPNS Rangka Empat Teras Pelaksanaan Modul Aulad Sejahtera 2026

JPNS  Rangka Empat Teras Pelaksanaan Modul Aulad Sejahtera 2026
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan merasmikan Majlis Pelancaran Modul Aulad Sejahtera 2026 edisi Prasekolah Kementerian Pendidikan di sebuah hotel. Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud. Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 18 Nov (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) merangka empat teras utama bagi memastikan pelaksanaan Modul Aulad Sejahtera 2026 di prasekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di negeri ini berjalan secara menyeluruh dan berkesan.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Khalidah Omar berkata empat teras berkenaan merangkumi penataran dan latihan kompetensi, pemantauan serta bimbingan berterusan, penilaian keberkesanan pembentukan tingkah laku murid dan penglibatan aktif ibu bapa serta komuniti.

Beliau berkata pelaksanaan modul itu melibatkan 391 kelas dengan 8,365 murid prasekolah KPM di Negeri Sembilan yang menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus murid mempamerkan amalan adab dan akhlak positif selepas enam bulan pelaksanaan.

JPNS  Rangka Empat Teras Pelaksanaan Modul Aulad Sejahtera 2026
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima buku Modul Aulad Sejahtera 2026 edisi Prasekolah Kementerian Pendidikan dari Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Khalidah Omar pada Majlis Pelancaran di Seremban. Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud. Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Bagi teras pertama, JPNS bersama tujuh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan melaksanakan program penataran dan latihan kompetensi kepada 100 peratus pegawai PPD, Jurulatih Utama Daerah serta 403 guru prasekolah bagi memastikan mereka bersedia melaksanakan modul berkenaan.

"Teras kedua pula memberikan tumpuan pada pemantauan dan bimbingan secara berterusan pada peringkat sekolah bagi memastikan Modul Aulad Sejahtera diintegrasikan secara berkesan sebagai bahan sokongan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) harian," katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Modul Aulad Sejahtera 2026 di Klana Resort Seremban hari ini.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berangkat menyempurnakan majlis pelancaran itu.

Khalidah berkata teras ketiga memfokuskan pada penilaian keberkesanan pelaksanaan melalui penggunaan instrumen penilaian pembentukan tingkah laku murid secara berkala.

Sementara itu, teras keempat menekankan penglibatan aktif ibu bapa dan komuniti dengan pelaksanaan program saranan ibu bapa bagi memastikan nilai-nilai adab yang dipelajari di prasekolah terus diamalkan dan dipupuk dalam kehidupan seharian murid di rumah.

"Modul berkenaan pada peringkat awal dibangunkan menerusi kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGKRM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

"Susulan kejayaan pelaksanaan modul itu di tadika Islam swasta di bawah seliaan JHEAINS, satu rundingan rasmi diadakan bersama Menteri Pendidikan (Datuk Seri Fadhlina Sidek) sebelum persetujuan dicapai untuk memperluas penggunaannya ke seluruh prasekolah di negeri ini," katanya.

Beliau berkata modul itu turut dimurnikan dan diselaraskan secara holistik bagi memastikan pelaksanaannya selari dengan Dokumen Kurikulum Prasekolah 2026.

Khalidah berkata Modul Aulad Sejahtera itu tercetus daripada wawasan dan keprihatinan Tuanku Muhriz terhadap isu keruntuhan akhlak, krisis nilai serta cabaran tingkah laku dalam kalangan generasi muda akibat arus pemodenan yang tidak terkawal dan pengaruh negatif media sosial.

Beliau berkata Negeri Sembilan kini mempunyai 241 institusi prasekolah KPM dengan 391 kelas, melibatkan 403 guru terdiri daripada 391 guru opsyen prasekolah dan 12 guru bukan opsyen.

Sebanyak 8,365 murid prasekolah di negeri itu katanya bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan modul tersebut, yang bertujuan membentuk adab, akhlak, jati diri serta sahsiah positif sejak usia awal.

-- BERNAMA