Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 18/11/2026 08:10 PM

SUK Tidak Terima Makluman, Surat Peletakan Jawatan Menteri Besar Setakat Ini

SUK Tidak Terima Makluman, Surat Peletakan Jawatan Menteri Besar Setakat Ini
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim ditemu bual media selepas Majlis Pelancaran Modul Aulad Sejahtera 2026 Edisi Prasekolah Kementerian Pendidikan di sebuah hotel. Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang bertitah bahawa modul berkenaan bertujuan membentuk sahsiah, menyemai nilai adab dan akhlak mulia serta memperkukuh jati diri kanak-kanak sejak peringkat prasekolah. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 18 Nov (Bernama) -- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan tidak menerima sebarang pemakluman atau surat peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar setakat ini, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Beliau berkata pihaknya hanya mengetahui mengenai peletakan jawatan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu menerusi kenyataan di media sosial pada 16 Nov.

“Benda ini tidak pernah berlaku (Menteri Besar letak jawatan) dan kami memang tidak ada satu prosedur operasi standard (SOP) khusus berhubung perkara itu (Menteri Besar perlu maklum SUK). 

“Prosedur ini berbeza daripada perkhidmatan awam kerana ia melibatkan urusan pentadbiran yang berlainan daripada tatacara berkaitan penjawat awam,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Modul Aulad Sejahtera 2026 yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek di sini hari ini.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berangkat menyempurnakan majlis berkenaan. Turut berangkat hadir Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Mohd Zafir ketika mengulas mengenai kedudukan Menteri Besar pula berkata pihaknya juga belum menerima sebarang maklumat terkini, termasuk perkembangan hasil pertemuan Ismail dengan Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di sini semalam.

Beliau berkata urusan pentadbiran di Pejabat SUK, Pejabat Menteri Besar dan jabatan-jabatan kerajaan negeri berjalan seperti biasa bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak tergendala.

“Perjalanan pejabat Menteri Besar berjalan macam biasa, fungsinya juga berjalan macam biasa. Saya pun tak ada jumpa Menteri Besar (Ismail) lagi buat masa ini,” katanya, sambil menambah beliau tidak menerima sebarang panggilan untuk menghadap Tuanku Muhriz bagi membincangkan perkembangan berkenaan.

Pada Isnin lepas, Ismail, 67, dilaporkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar. Beliau mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos.

Istana Negeri Sembilan semalam memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Tuanku Muhriz turut dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail susulan kemelut semasa yang melanda negeri itu dengan sesi menghadap bermula kira-kira 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang.

-- BERNAMA