Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 02/08/2026 12:11 AM

PRN NS: Amanah Kecewa Kempen Berdasarkan Prestasi Gagal Tarik Sokongan Pengundi

PRN NS: Amanah Kecewa Kempen Berdasarkan Prestasi Gagal Tarik Sokongan Pengundi
Khalid Abdul Samad

SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui kecewa apabila kempen Pakatan Harapan (PH) yang mengetengahkan prestasi kerajaan gagal diterjemahkan kepada sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata kempen PH yang berteraskan rekod kerajaan tidak mendapat sambutan sewajarnya apabila naratif politik identiti dan perkauman lebih mendominasi sepanjang tempoh berkempen.

“Walaupun Tok Min (Pengerusi PH Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun) kata beliau tidak kecewa, saya ingin menyatakan saya kecewa.

“Kempen PH yang berasaskan prestasi tidak mendapat sambutan malah dilihat remeh,” katanya dalam sidang media di Pusat Operasi PH di sini malam ini.

Beliau berkata isu yang lebih menonjol sepanjang kempen ialah naratif bahawa orang Melayu perlu bersatu bagi berdepan ancaman yang didakwa datang daripada DAP, menyebabkan pencapaian kerajaan serta prestasi calon-calon PH langsung tidak menjadi pertimbangan utama pengundi.

“Kita berhujah panjang lebar tentang prestasi, tapi UMNO, Barisan Nasional (BN), dan Perikatan Nasional (PN) hanya menjawab dengan ‘DAP’. Jadi, ini sangat mengecewakan,” katanya.

Bagaimanapun, Khalid berkata Amanah akan terus bersama PH memperjuangkan politik berasaskan prestasi dengan memastikan masyarakat, khususnya orang Melayu menilai berdasarkan rekod dan keupayaan mentadbir, bukan sentimen perkauman.

“Harapan dan cita-cita kita adalah untuk mendatangkan kematangan dan pemahaman yang lebih mantap dalam politik orang Melayu supaya isu prestasi akan diberikan kepentingan, dan ini perjuangan serta usaha berterusan untuk mendidik masyarakat,” katanya.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat ini, PH memperoleh 11 daripada 36 kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya itu manakala BN dan PN masing-masing memenangi 18 dan tujuh kerusi.

Sebanyak 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos layak mengundi hari ini dengan peratusan keluar mengundi yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 4 petang ialah 65.38 peratus atau 562,133 pengundi.

-- BERNAMA