Berita Terkini
PH Ambil Tanggungjawab Kolektif Selepas Kalah Di Negeri Sembilan
SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) akan memikul tanggungjawab secara kolektif susulan kekalahan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, kata Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari malam ini.
Beliau berkata kepimpinan gabungan itu, daripada peringkat tertinggi hingga ke akar umbi akan memikul tanggungjawab secara bersama, sambil menegaskan bahawa tiada individu, kumpulan, komuniti atau mana-mana pihak akan dipersalahkan secara khusus.
“Sebagai pemimpin PH, kami mengambil tanggungjawab secara kolektif. Ia bukan soal menuding jari kepada mana-mana individu, kumpulan, komuniti atau mana-mana pihak.
“Kami akan memikul tanggungjawab secara kolektif, daripada kepimpinan tertinggi hingga ke akar umbi organisasi,” katanya di pusat gerakan PH di sini malam ini.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, PH memperoleh 11 daripada 36 kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya itu manakala Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memenangi 18 dan tujuh kerusi.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor ketika mengulas mengenai faktor di sebalik kekalahan itu berkata gabungan berkenaan telah melakukan yang terbaik untuk menyampaikan mesej menerusi media sosial, media arus perdana serta kempen rumah ke rumah secara meluas yang dilakukan oleh calon-calonnya.
Beliau berkata PH yakin manifesto pilihan raya telah disebarkan secara meluas di seluruh Negeri Sembilan, namun mengakui bahawa ia gagal menjadi isu utama dalam kalangan pengundi sepanjang tempoh kempen.
“Malangnya, manifesto itu tidak menjadi topik perbincangan. Sebaliknya, perbincangan lebih tertumpu kepada sama ada perkara ini melibatkan orang Melayu atau bukan Melayu, atau sama ada rakyat menyokong DAP atau tidak,” katanya.
Naib Presiden PKR itu berkata keputusan berkenaan bukanlah satu “gelombang biru” mahupun “gelombang hijau”, sebaliknya mencerminkan politik yang berteraskan identiti.
Beliau berkata gabungan itu akan memanfaatkan tempoh kira-kira setahun yang masih berbaki sebelum pilihan raya umum akan datang untuk menyusun semula mesej politiknya, dengan penekanan yang lebih besar terhadap prestasi kerajaan, dasar-dasar serta penyampaian perkhidmatan.
“Saya berharap Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan pasukan kami akan menyusun semula mesej politik kami bagi memastikan kami kembali memberi tumpuan kepada nilai, prestasi, data serta perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya, sambil menambah PH juga akan menumpukan perhatian kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka.
Selain itu, Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Negeri Sembilan yang telah menunaikan tanggungjawab mengundi pada pilihan raya itu serta kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan, petugas media, sukarelawan dan jentera parti yang memastikan proses pengundian berjalan lancar.
Beliau berkata keputusan pilihan raya Negeri Sembilan turut menunjukkan PH kekal sebagai antara gabungan terbesar yang dipilih selepas BN dan PN.
Amirudin berkata sebagai tanda menghargai sokongan diberikan pengundi, calon-calon PH akan terus turun padang menyantuni rakyat di kawasan masing-masing manakala wakil rakyat yang dipilih akan meneruskan khidmat kepada rakyat dengan memberi tumpuan kepada politik berasaskan nilai, prestasi dan penyampaian perkhidmatan.
Sebanyak 36 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN kali ini, melibatkan 103 calon.
Sebanyak 859,760 pemilih berdaftar, termasuk 7,391 pengundi pos layak mengundi hari ini dengan peratusan keluar mengundi yang direkodkan oleh SPR setakat 4 petang ialah 65.38 peratus atau 562,133 pengundi.
Pada edisi PRN Negeri Sembilan ke-15, PH memenangi 17 kerusi DUN diikuti BN (14) dan PN (lima).
Untuk berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- BN Menang 18 Daripada 36 Kerusi DUN Negeri Sembilan - SPR
- PRN NS: Bersatu Akan Teliti Keputusan, Lakukan Bedah Siasat Perkukuh Parti
- PRN NS: Bersatu Gagal Menang Sebarang Kerusi, Berjasa, Asli Dan PSM Turut Kecundang
- PRN Negeri Sembilan: 30 Calon Hilang Deposit
- BN Kembali Terajui Negeri Sembilan Selepas Lapan Tahun, Bentuk Kerajaan Negeri Bersama PN