Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 02/08/2026 01:01 AM

Tiga Calon Wanita Menang Kerusi DUN Negeri Sembilan

Tiga Calon Wanita Menang Kerusi DUN Negeri Sembilan
S. Leza Md Yasin (kiri), Siti Nur Umaira Hasim (tengah) dan Nicole Tan Lee Koon.

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Cuma tiga daripada sembilan calon wanita yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berjaya memperoleh mandat pengundi untuk menganggotai Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada jumlah itu, dua calon mewakili Barisan Nasional (BN) manakala seorang daripada Pakatan Harapan (PH).

Calon BN yang menang ialah S. Leza Md Yasin di DUN Pilah dan Siti Nur Umaira Hasim di DUN Labu.

S. Leza menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim dengan majoriti 730 undi selepas memperoleh 6,830 undi berbanding 6,100 undi yang diraih pencabarnya.

Sementara itu, Siti Nur Umaira mencatat kemenangan selesa di Labu dengan memperoleh 14,209 undi menewaskan Ahmad Faez Abdul Razak (PH) yang meraih 8,930 undi serta Mohamad Hanifah Abu Baker daripada Bersatu yang mendapat 1,985 undi sekali gus menang dengan majoriti 5,279 undi.

Calon wanita PH, Nicole Tan Lee Koon pula berjaya mempertahankan kerusi Bukit Kepayang apabila memperoleh 24,096 undi menewaskan Lee Boon Shian daripada Perikatan Nasional (PN) yang meraih 8,889 undi dengan majoriti 15,207 undi.

Selain Noorzita Begum, calon wanita PH yang gagal memenangi kerusi masing-masing ialah Zarinna Abu Zarin di Lenggeng dan Siti Aishah Seman di Gemas.

Turut tewas calon Bersatu Noor'azah Harun di DUN Ampangan manakala calon Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) Dayana Dal, yang melakar sejarah sebagai wanita pertama daripada masyarakat Orang Asli suku Semelai bertanding pada PRN Negeri Sembilan, hilang deposit selepas memperoleh 179 undi di DUN Jeram Padang.

Sembilan calon wanita bertanding pada PRN Negeri Sembilan kali ini melibatkan empat daripada PH, tiga daripada BN, seorang daripada Bersatu dan seorang daripada ASLI.

Sebanyak 36 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN kali ini, melibatkan 103 calon.

-- BERNAMA