Berita Terkini
PRN NS: Kemenangan BN, PN Mandat Besar Untuk Hebatkan Negeri Sembilan
SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan adalah mandat dan amanah besar kepada dua gabungan itu untuk menghebatkan semula pentadbiran negeri.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kepercayaan yang diberikan oleh pengundi berbilang kaum di negeri ini merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas oleh kesemua wakil rakyat yang dipilih.
"Mandat dan amanah besar ini menjadi tanggungjawab kepada BN dan PN untuk menghebatkan semula pentadbiran di Negeri Sembilan, insya-Allah.
"Oleh kerana itu, semua wakil daripada BN dan PN (perlu) memaksimumkan khidmat mereka tanpa sebarang kompromi demi memenuhi janji manifesto kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan tidak rasmi PRN Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan malam ini.
Jalaluddin yang turut menang di DUN Pertang berkata kejayaan meraih mandat melebihi dua pertiga itu turut membuktikan rakyat Negeri Sembilan memilih kestabilan serta kemakmuran negeri.
Sementara itu, mengenai proses pembentukan kerajaan negeri, Jalaluddin berkata rundingan pimpinan parti akan diadakan terlebih dahulu bagi memuktamadkan calon Menteri Besar sebelum mempersembahkan perkara itu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Undang Yang Empat untuk istiadat mengangkat sumpah nanti.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keputusan tersebut bukan untuk diraikan secara berlebihan sebaliknya amanah untuk bekerja dengan lebih kuat, mentadbir dengan lebih baik dan memastikan manifesto BN dilaksanakan dengan berkesan.
“Kepercayaan rakyat tidak boleh dikhianati dan mandat ini tidak boleh disia-siakan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata persefahaman politik antara BN dan PN di Negeri Sembilan turut menjadi antara asas penting kejayaan ini menerusi langkah mengelakkan pertembungan antara gabungan itu yang membuktikan kematangan politik, disiplin strategi serta kejelasan matlamat.
Menurut Azalina, pilihan raya itu juga membuktikan bahawa penerangan ialah antara tunjang utama kemenangan selain kemampuan memahami isu, membaca sentimen rakyat, menguasai data dan menyusun naratif yang tepat.
“Kini kempen telah berakhir dan kerja sebenar bermula. Kerajaan yang dibentuk mesti berkhidmat untuk semua rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira kaum, agama, kawasan atau kecenderungan politik,” katanya.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Tiga Calon Wanita Menang Kerusi DUN Negeri Sembilan
- PRN NS: Amanah Kecewa Kempen Berdasarkan Prestasi Gagal Tarik Sokongan Pengundi
- PRN NS: Kepercayaan Kepada PN Isyarat Rakyat Terima Usaha Penyatuan - Abdul Hadi
- Aminuddin Anggap Kekalahan Lumrah Politik, Tidak Menyesal Bertanding Di Linggi
- PH Ambil Tanggungjawab Kolektif Selepas Kalah Di Negeri Sembilan