Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 02/08/2026 12:05 AM

PRN NS: Kepercayaan Kepada PN Isyarat Rakyat Terima Usaha Penyatuan - Abdul Hadi

PRN NS: Kepercayaan Kepada PN Isyarat Rakyat Terima Usaha Penyatuan - Abdul Hadi
Tan Sri Abdul Hadi Awang

SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Kepercayaan yang diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 memberi isyarat jelas bahawa rakyat menerima usaha penyatuan berteraskan keadilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat majmuk.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata parti itu menginsafi betapa besarnya tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh pengundi.

“Keutamaan adalah untuk mengisi kemenangan melalui agenda berkebajikan, berintegriti dan adil kepada semua,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan PN dan Barisan Nasional (BN), calon, petugas serta jentera parti yang bekerja dalam satu saf bagi memastikan kejayaan kedua-dua gabungan politik.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, PN memenangi tujuh daripada 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN pula memperoleh 18 daripada 25 kerusi yang ditanding sekali gus membolehkan kedua-dua gabungan politik yang bekerjasama pada PRN Negeri Sembilan kali ini membentuk kerajaan negeri baharu.

Pada PRN kali ini, PH bertanding di kesemua 36 kerusi diikuti BN (25), Bersatu (24), PN (11) manakala Berjasa, ASLI dan Parti Sosialis Malaysia, masing-masing menampilkan seorang wakil, selain empat calon Bebas. 

Pada edisi PRN Negeri Sembilan ke-15, PH yang memenangi 17 kerusi DUN dan BN dengan 14 kerusi membentuk kerajaan negeri manakala PN memenangi lima kerusi.  

Pada 27 April lepas, BN Negeri Sembilan bertindak menarik sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang membawa kepada pembubaran DUN pada 5 Jun lepas sekali gus memberi laluan untuk PRN diadakan. 

Untuk berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA

 

 

Kata Kunci berkaitan