Berita Terkini
Rombongan Diketuai Ahmad Zahid Dipercayai Menghadap Tuanku Muhriz Malam Ini
SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat memasuki Istana Hinggap di sini, bagi menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Lebih 10 buah kenderaan dipercayai dinaiki pemimpin BN dan Perikatan Nasional (PN) termasuk Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, mengiringi kenderaan itu memasuki pekarangan istana pada kira-kira pukul 10 malam.
Rombongan itu dipercayai menghadap Tuanku Muhriz bagi mempersembahkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, serta nama-nama calon Menteri Besar untuk membentuk kerajaan negeri.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata BN dan PN akan membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas gabungan itu memperoleh majoriti dua pertiga, berdasarkan keputusan tidak rasmi pada pilihan raya hari ini.
Secara tidak rasmi, BN menurut beliau memenangi 18 kerusi DUN manakala PN memperoleh tujuh kerusi DUN, sekali gus memberikan kedua-dua gabungan parti politik yang bekerjasama pada PRN Negeri Sembilan itu, majoriti untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Tiga Calon Wanita Menang Kerusi DUN Negeri Sembilan
- PRN NS: Amanah Kecewa Kempen Berdasarkan Prestasi Gagal Tarik Sokongan Pengundi
- PRN NS: Kepercayaan Kepada PN Isyarat Rakyat Terima Usaha Penyatuan - Abdul Hadi
- PRN NS: Kemenangan BN, PN Mandat Besar Untuk Hebatkan Negeri Sembilan
- Aminuddin Anggap Kekalahan Lumrah Politik, Tidak Menyesal Bertanding Di Linggi