Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 20/07/2026 04:30 PM

PRN NS: Patuhi Peraturan Pilihan Raya, Berkempen Secara Integriti - Aminuddin

PRN NS: Patuhi Peraturan Pilihan Raya, Berkempen Secara Integriti - Aminuddin
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun (kanan), menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media berhubung penjelasan mengenai pemilihan calon PH bagi DUN Chuah di sebuah hotel, hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Cabang PKR Port Dickson, Datuk Kenny Chiew Chi Kin (kiri). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PORT DICKSON, 20 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru semua jentera parti politik menjalankan kempen secara berintegriti, serta mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata tindakan seperti membakar atau merosakkan poster kempen tidak mencerminkan budaya politik yang matang dan beradab.

"Kita mahu menunjukkan cara berkempen yang baik kerana kita berada dalam sebuah negeri yang beradab. Saya berharap semua pihak menghormati peraturan dan masyarakat dapat menilai sendiri tingkah laku ahli politik sepanjang kempen," katanya kepada pemberita ketika berkempen di sekitar DUN Linggi, hari ini.

Aminuddin berkata demikian susulan kenyataan Sekretariat Pusat Media PRN Negeri Sembilan Ke-16 PH hari ini, yang memaklumkan Bilik Gerakan Utama PH menerima beberapa laporan berhubung perbuatan khianat dan kerosakan bahan kempen pada hari kedua kempen.

Menurut kenyataan itu, insiden berkenaan melibatkan kejadian bendera dibakar di DUN Palong serta pancang bendera dirosakkan di DUN Chembong.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian khianat bahan kempen di Jempol, dengan siasatan bagi kes di Chembong masih dijalankan.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan undi awal pada 28 Julai, manakala hari mengundi pada 1 Ogos ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA