Berita Terkini
TEKUN Salur RM36 Juta Kepada 1,500 Usahawan Negeri Sembilan Sehingga Jun
SEREMBAN, 20 Julai (Bernama) -- TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM36 juta kepada kira-kira 1,500 usahawan di Negeri Sembilan sehingga Jun tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong dalam kenyataan hari ini memaklumkan di peringkat nasional pula, sebanyak RM540 juta disalurkan kepada 25,600 usahawan dalam tempoh yang sama.
Beliau berkata TEKUN telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan usahawan tempatan sejak ditubuhkan 30 tahun lepas, namun setiap kelemahan dan jurang dalam proses penyampaian perlu terus diperbaiki berdasarkan pengalaman sebenar usahawan.
Sehubungan itu, beliau menetapkan sasaran supaya keputusan bagi permohonan pembiayaan TEKUN bernilai RM100,000 dan ke bawah diberikan dalam tempoh tujuh hari, sama ada diluluskan atau sebaliknya.
“Bagi pembiayaan mikro bernilai RM20,000 dan ke bawah pula, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang mengusahakan sasaran agar keputusan permohonan dapat diberikan dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Baru-baru ini, Sim menghadiri program bersama usahawan TEKUN di Seremban yang turut menjadi platform untuk mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai pengalaman mereka memohon, menerima dan membayar balik pembiayaan.
Sim menegaskan bahawa usaha mempercepat proses kelulusan perlu disertai penyaluran dana yang cekap agar usahawan dapat menggunakan pembiayaan berkenaan tanpa perlu menunggu terlalu lama.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa permohonan pembiayaan TEKUN tidak memerlukan sokongan atau pengesahan daripada mana-mana pemimpin politik.
Beliau berkata setiap permohonan mesti dinilai secara profesional dan telus berdasarkan kelayakan pemohon, tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik serta tanpa bergantung pada sebarang surat sokongan.
“Tidak kira usahawan memakai baju biru, hijau atau merah, selagi mereka layak, permohonan mesti diberikan pertimbangan yang adil. Kita mahu menghentikan budaya usahawan terpaksa mencari orang politik atau pihak ketiga untuk mendapatkan surat sokongan,” katanya.
Selain itu Sim berkata kerajaan terus memperluas akses pembiayaan kepada usahawan daripada semua komuniti menerusi peruntukan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN telah ditingkatkan daripada RM30 juta kepada RM50 juta, selain Pakej Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (MUDRA) menyediakan pembiayaan keseluruhan RM220 juta pada tahun ini.
Beliau berkata usaha memperkukuh perusahaan tempatan tidak boleh dilihat daripada sudut kaum kerana di peringkat antarabangsa, semua perniagaan tempatan bersaing sebagai syarikat Malaysia.
“Jika kita mahu menang di peringkat antarabangsa, kita mesti menang bersama-sama. Jika kita kalah, kita juga akan kalah bersama-sama,” katanya.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Jemaah Menteri Tak Pernah Bantah Kerajaan Laksana Program Untuk Islam, Melayu - Anwar
- Pengundi DUN Jeram Padang Digesa Keluar Awal Untuk Mengundi - Fahmi
- Anwar, Pemimpin PH Sampai Amanat Akhir Menerusi Tiktok
- Mengundi Untuk Masa Depan, Pilih Pemimpin Yang Amanah - Fahmi
- PRN NS: Anwar Gesa Jentera PH Manfaatkan Baki Tempoh Berkempen, Fokus Buat Kerja