Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 19/07/2026 02:59 PM

PRN N.Sembilan: Pemimpin Utama Parti Giat Santuni Rakyat, Kempen Secara Santai

PRN N.Sembilan: Pemimpin Utama Parti Giat Santuni Rakyat, Kempen Secara Santai
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

SEREMBAN, 19 Julai (Bernama) -- Memasuki hari kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hari ini, kebanyakan calon memulakan jadual mereka dengan bersarapan serta mengadakan tinjauan mesra bersama pengundi di kawasan masing-masing.

Kebanyakan calon menyusun sehingga sembilan program sehari bagi mendekati seramai mungkin pengundi sebelum hari pengundian 1 Ogos ini.

Bagi Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Port Dickson, sebanyak sembilan program diatur hari ini bermula solat Subuh berjemaah di Masjid Jamek Pasir Panjang.

PRN N.Sembilan: Pemimpin Utama Parti Giat Santuni Rakyat, Kempen Secara Santai

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu kemudian menyertai penduduk sekitar bersarapan, diikuti tinjauan mesra di beberapa lokasi seperti pekan Pasir Panjang, Taman Setia, Taman Kekatong, Rumah Rakyat Telok Pelandok dan Kampung Telok Pelandok selain menghadiri program ramah mesra bersama masyarakat India.

Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR negeri berkata tinjauan mesra berkenaan membolehkan beliau bertemu dan mendengar sendiri pandangan serta harapan pengundi.

“Setiap pertemuan menjadi suntikan semangat untuk saya terus bekerja, berkhidmat dan membawa pembangunan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

PRN N.Sembilan: Pemimpin Utama Parti Giat Santuni Rakyat, Kempen Secara Santai
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Bakri Sawir mengedarkan risalah kepada orang ramai ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Pasar Minggu Kuala Klawang hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Insya-Allah, dengan sokongan dan kepercayaan yang berterusan, kita akan terus melangkah bersama membina masa depan yang lebih baik untuk penduduk di kawasan DUN Linggi khususnya dan Negeri Sembilan amnya,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu di sini hari ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang mempertahankan DUN Chennah pada PRN kali ini pula memulakan kempennya pagi ini dengan tinjauan mesra di Pasar Besar Seremban, diikuti Majlis Makan Malam PRN Negeri Sembilan pada sebelah malam.

Calon PH di DUN Seri Menanti Kamarul Ariffin Wafa pula menyenaraikan lapan program hari ini antaranya menyantuni pengundi di Pekan Ahad serta sekitar Tanjong Ipoh, disusuli gotong-royong di Kampung Panglang Hulu, serta menghadiri program Jualan Rahmah di Kedai Air Perkampungan Budaya Terachi.

PRN N.Sembilan: Pemimpin Utama Parti Giat Santuni Rakyat, Kempen Secara Santai

Calon PH bagi DUN Serting Yaacob Mahmood turut mengambil pendekatan sama dengan bersarapan dan menyantuni pengundi di sekitar Felda Raja Alias 3 dan premis perniagaan di Bandar Seri Jempol. 

“Program santai ini memberi ruang kepada calon untuk bertemu secara dekat dengan masyarakat, mendengar pandangan serta bertukar pandangan mengenai isu dan keperluan setempat dalam suasana yang mesra dan harmoni,” katanya.

Sementara itu, penyandang DUN Rantau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan meluangkan masa dengan warga Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Taman Kelab Tuanku di Mambau, petang ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias pula memulakan kempennya hari ini dengan mendekati anak muda di Kejohanan Sepak Takraw Anak Muda DUN Pertang pagi ini dan menyantuni masyarakat Orang Asli Kampung Utara Putra pada sebelah petang.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian, manakala undi awal pada 28 Julai ini.

Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 889,490 pengundi berdaftar yang layak memilih pada PRN kali ini merangkumi 867,151 pengundi biasa manakala 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis sebagai pengundi awal.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA