Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 18/07/2026 05:49 PM

Ramanan, Sim Hadir Beri Sokongan Kepada Enam Calon PH Di Wisma MBS

Ramanan, Sim Hadir Beri Sokongan Kepada Enam Calon PH Di Wisma MBS
Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan menghadiri proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Majlis Bandaraya Seremban bagi memberikan sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pada pilihan raya negeri kali ini.

SEREMBAN, 18 Julai (Bernama) -- Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri R. Ramanan hari ini hadir di Pusat Penamaan Calon di Wisma Majlis Bandaraya Seremban untuk memberi sokongan kepada enam calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Beliau hadir bersama dengan barisan kepimpinan PH antaranya Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim untuk memberi sokongan kepada Nor Azman Mohamad yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Datuk Muhammad Nazri Kassim (DUN Ampangan), Zarinna Abu Zarin (DUN Lenggeng), Chew Seh Yong (DUN Lobak), J. Arul Kumar (DUN Nilai) dan Ho Weng Wah (DUN Temiang).

Ramanan berkata kekuatan jentera dan kerjasama semua pihak akan terus diperkukuh sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan mesej dan aspirasi PH dapat disampaikan kepada rakyat.

“Kita akan terus mendekati rakyat dan bekerja bersungguh-sungguh sepanjang tempoh berkempen... kekuatan jentera di setiap kawasan akan menjadi pemangkin kepada usaha membawa kestabilan serta kesinambungan pembangunan Negeri Sembilan," menurutnya dalam kenyataan di sini.

Tempoh berkempen PRN Negeri Sembilan bermula hari ini selepas proses penamaan calon selesai dan akan berlangsung hingga 31 Julai.

DUN Negeri Sembilan, yang mempunyai 36 kerusi, dibubarkan pada 5 Jun lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian manakala undi awal pada 28 Julai ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA