Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 18/07/2026 04:34 PM

PRN Negeri Sembilan: Gandingan Muka Lama Dan Baharu Taruhan Rebut Kerusi DUN

PRN Negeri Sembilan: Gandingan Muka Lama Dan Baharu Taruhan Rebut Kerusi DUN
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan N32 Linggi Datuk Seri Aminuddin Harun bergambar bersama calon-calon PH selepas proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) --  Kemunculan muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sebagai gandingan calon muka lama dan baharu yang dipertaruhkan parti-parti politik bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) agak signifikan kali ini.

Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di semua 36 kerusi mempertaruhkan 24 muka baharu manakala selebihnya termasuk Pengerusi PH Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang memilih tidak mempertahankan DUN Sikamat sebaliknya bertanding di DUN Linggi, adalah muka lama.

Antara nama besar dan muka lama lain yang bertanding mewakili PH ialah Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang akan mempertahankan kerusi DUN Chennah.

PRN Negeri Sembilan: Gandingan Muka Lama Dan Baharu Taruhan Rebut Kerusi DUN
Calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Chennah, Anthony Loke (tiga, kanan), N.02 Pertang, Mohd Umry Abdul Khois (kiri), N.03 Sungai Lui, Zainal Fikri Abd Kadir (dua, kiri) dan N.04 Klawang, Bakri Sawir (tiga, kiri), berarak diiringi Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo (kanan), dan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, bersama penyokong menuju ke Pusat Penamaan Calon Dewan Besar Kuala Klawang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Barisan Nasional (BN) pula mempertaruhkan 13 calon muka baharu daripada 25 calonnya manakala selebihnya adalah muka lama termasuk Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang akan mempertahankan DUN Rantau manakala Datuk Ismail Lasim tidak mempertahankan kerusi DUN Senaling yang dimenanginya pada PRN lalu sebaliknya akan bertanding di DUN Juasseh.

Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias pula kekal bertanding di DUN Pertang yang dimenangi beliau pada PRN 2023.

Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di 11 kerusi turut menampilkan gandingan penyandang dan wajah baharu melalui parti komponennya termasuk PAS, Gerakan, Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

PRN Negeri Sembilan: Gandingan Muka Lama Dan Baharu Taruhan Rebut Kerusi DUN
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N13 Sikamat , Nor Azman Mohamad (kanan) bersama para pencabarnya dari Perikatan Nasional (PN) Datuk Razali Abu Samah (tengah) dan calon Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz (kiri) pada penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke - 16 di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Forest Heights, hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA SEREMBAN, July 18 — Pakatan Harapan (PH) candidate for the N13 Sikamat state constituency (DUN), Nor Azman Mohamad (right), with his opponents from Perikatan Nasional (PN), Datuk Razali Abu Samah (centre), and Bersatu candidate Datuk Tun Faisal Ismail Aziz (left), during nomination day for the 16th Negeri Sembilan State Election at Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Forest Heights today. -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang merupakan muka baharu antara 24 calon dipertaruhkan parti itu yang berbanding menggunakan logonya sendiri pada pilihan raya negeri kali ini berbanding logo PN pada PRN 2023.

Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Hanifah Abu Bakar pula antara muka lama parti itu terus diberi kepercayaan mempertahankan DUN Labu.

Selain itu Parti Berjasa, Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang masing-masing meletakkan seorang calon selain kehadiran empat calon bebas turut memeriahkan PRN kali ini.

Calon PH bagi kerusi DUN Gemencheh Datuk Abd Latiff A Tambi, 70, menjadi calon tertua bagi PRN kali ini manakala calon termuda adalah calon Bersatu bagi DUN Sri Tanjung, Leevineshwaraan Murugan yang berusia 23 tahun.

Selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon ditutup pada 10 pagi, sebanyak 103 calon mewakili pelbagai parti dan individu disahkan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan.

SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan ialah pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA