Berita Terkini
PRN NS: Leevineshwaraan Calon Termuda, Tok Mat Antara Paling Otai
KUALA LUMPUR 18 Julai (Bernama) -- Kerancakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang bermula hari ini menyaksikan M. Leevineshwaraan mencuri tumpuan apabila muncul sebagai calon termuda bakal bersaing merebut mandat rakyat.
Mewakili Bersatu, anak muda berusia 23 tahun itu akan menguji kredibilitinya dalam persaingan lima penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung.
Leevineshwaraan dijangka berdepan cabaran getir apabila menentang penyandang kerusi berkenaan, Datuk Dr G. Rajasekaran daripada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi kawasan itu pada pilihan raya lepas dengan majoriti 3,996 undi.
Rekod calon termuda sebelum ini dipegang oleh Muhammad Syakir Fitri Sadri yang bertanding atas tiket Bebas di DUN Paroi ketika berusia 25 tahun pada 2023.
Sri Tanjung ialah satu daripada lima DUN di bawah Parlimen Port Dickson dan pada pilihan raya kali ini, seramai 19,590 pemilih berdaftar layak mengundi di kawasan itu.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan dan Abd Latif A Tambi daripada PH, masing-masing berusia 70 tahun, diangkat sebagai calon tertua pada PRN kali ini.
Mohamad, yang juga penyandang kerusi DUN Rantau, dan Abd Latif yang bertanding di DUN Gemencheh, masing-masing berdepan saingan satu lawan satu.
Pada PRN lepas, rekod calon tertua dipegang oleh Bujang Abu, 72, yang bertanding atas tiket Bebas.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat bertanding kali ini selepas gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
DUN Rantau terletak dalam Parlimen Rembau dan pada PRN kali ini, terdapat 34,831 pemilih layak mengundi manakala DUN Gemencheh, yang terletak dalam Parlimen Tampin, mempunyai 24,916 pemilih yang layak.
PRN kali ini juga menyaksikan sembilan daripada keseluruhan 103 calon ialah wanita, dengan PH mempertaruhkan jumlah tertinggi iaitu empat orang.
Statistik itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding pilihan raya sebelum ini yang menyaksikan penglibatan lapan wanita daripada keseluruhan 83 calon bertanding.
SPR menetapkan 28 Julai ini sebagai tarikh pengundian awal manakala 1 Ogos sebagai hari mengundi.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Jemaah Menteri Tak Pernah Bantah Kerajaan Laksana Program Untuk Islam, Melayu - Anwar
- Pengundi DUN Jeram Padang Digesa Keluar Awal Untuk Mengundi - Fahmi
- Anwar, Pemimpin PH Sampai Amanat Akhir Menerusi Tiktok
- Mengundi Untuk Masa Depan, Pilih Pemimpin Yang Amanah - Fahmi
- PRN NS: Anwar Gesa Jentera PH Manfaatkan Baki Tempoh Berkempen, Fokus Buat Kerja