Berita
KPSTI Bantu Percepat Pendigitalan Sekolah Di Sabah - James Ratib
KOTA KINABALU, 14 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri (KPSTI) giat membantu mempercepatkan pendigitalan semua sekolah di Sabah, dengan fasa awal melibatkan pemberian komputer riba serta pemasangan kemudahan Starlink di sekolah terlibat.
Menterinya Datuk James Ratib berkata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bersedia membantu kementerian itu bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bagi merealisasikan inisiatif berkenaan.
Beliau berkata pendigitalan bermula dengan pemberian komputer riba kepada sekolah yang memerlukan, namun kemudahan itu akan diserahkan kepada pihak sekolah untuk diuruskan.
“Pihak sekolah akan menyediakan sebuah bilik sumber khas bagi menempatkan komputer riba berkenaan.
“Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membekalkan kemudahan Starlink kepada sekolah yang tidak mempunyai capaian internet,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkaitan pendigitalan sekolah di Sabah, di sini, hari ini.
James berkata pelaksanaan inisiatif itu akan dimulakan sebaik sahaja JPNS merumuskan hasil perbincangan mesyuarat untuk diserahkan kepada MCMC bagi tujuan permohonan peruntukan.
Beliau berkata mesyuarat khas hari ini diadakan susulan pertemuannya dengan Menteri Komunikasi sebelum ini yang menyatakan kesediaan membantu keperluan pendigitalan sekolah di negeri itu.
“Sasaran permintaan komputer riba yang dikemukakan JPNS adalah sebanyak 45,000 unit, manakala 68 sekolah dikenal pasti memerlukan pemasangan Starlink.
“Jumlah ini ditetapkan oleh JPNS, namun terpulang kepada MCMC untuk mempertimbangkan dan meluluskan permohonan berkenaan. Apa yang penting, kita tidak mahu Sabah terus ketinggalan dalam arus pemodenan teknologi yang berkembang pesat,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- 1,400 Atlet, Pegawai Sertai BIMP-EAGA Friendship Games 2026 Di Sabah
- Laluan Baharu Mendaki Gunung Kinabalu Dari Kiau Dilancar 16 Jan Tahun Depan
- Belanjawan Sabah 2027 Utamakan Keperluan, Perbelanjaan Berhemat - Masidi
- Sabah Electricity Sasar Tanam 2,777 Pokok Di Hutan Simpan Garinono Dalam Tempoh Tiga Tahun
- Peruntukan Bantuan Sekolah, Rumah Ibadat Di Sabah Ditingkatkan Kepada RM90 Juta - Hajiji