Berita

Kemaskini: 24/11/2026 03:44 PM

Peruntukan Bantuan Sekolah, Rumah Ibadat Di Sabah Ditingkatkan Kepada RM90 Juta - Hajiji

Kredit: Jabatan Ketua Menteri, Sabah

KOTA KINABALU, 24 Nov (Bernama) -- Bantuan kewangan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah ditingkatkan kepada RM90 juta pada tahun ini berbanding RM70 juta tahun lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata peningkatan itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan semua sekolah dan rumah ibadat menerima sokongan pembangunan secara adil dan saksama tanpa mengira kaum serta agama.

“Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam 2026 pada hari ini bukan sebuah majlis bermusim. Ini adalah tanggungjawab hakiki dan manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras pentadbiran kerajaan negeri hari ini.

Kredit: Jabatan Ketua Menteri, Sabah

“Kita mahu memastikan tiada sekolah yang daif daripada prasarana ilmu dan tiada rumah ibadat yang terpinggir daripada menerima sokongan pembangunan daripada kerajaan,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun pada majlis berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata bantuan itu juga bertujuan membantu penyelenggaraan bangunan, aktiviti pembelajaran serta pengoperasian institusi berkenaan di seluruh Sabah.

Hajiji berkata pada tahun ini, Kementerian Kewangan Sabah menerima 339 permohonan bantuan daripada lima kategori sekolah yang dibenarkan melibatkan jumlah keseluruhan RM107.27 juta dan daripada jumlah itu, sebanyak RM40 juta diluluskan untuk disalurkan kepada 320 sekolah yang memenuhi syarat.

Selain itu, katanya, sebanyak 1,810 permohonan diterima daripada tokong, kuil dan pelbagai denominasi gereja di negeri ini dengan jumlah peruntukan dipohon sebanyak RM235.3 juta, dan daripada jumlah berkenaan sebanyak RM50 juta disalurkan kepada 1,761 badan keagamaan bukan Islam.

Beliau berkata walaupun keperluan di peringkat akar umbi jauh lebih besar daripada peruntukan sedia ada, kerajaan menyalurkan bantuan berdasarkan keutamaan, keperluan dan kemampuan kewangan serta akan terus berusaha meningkatkan sokongan apabila kewangan mengizinkan.

Mengulas sektor pendidikan yang kekal sebagai keutamaan pentadbirannya, Hajiji berkata kekuatan masa depan Sabah bergantung kepada generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

“Kita tidak mahu anak-anak kita dan generasi sekarang hanya menjadi penonton kepada pembangunan negeri. Kita mahu mereka menjadi generasi yang akan memimpin dan menentukan masa depan Sabah,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai bukti keterbukaan terhadap kepelbagaian aliran pendidikan yang membuka peluang lebih luas kepada pemegang sijil itu melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri Sabah serta memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.

-- BERNAMA