Berita

Kemaskini: 24/11/2026 07:52 PM

1,400 Atlet, Pegawai Sertai BIMP-EAGA Friendship Games 2026 Di Sabah

Kredit: FB - Nizam Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU, 24 Nov (Bernama) -- Sebanyak 1,400 peserta merangkumi atlet, pegawai dan jurulatih dari Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia serta Filipina berhimpun di sini bagi menyertai temasya 12th BIMP-EAGA Friendship Games 2026 berlangsung dari 23 hingga 27 Nov ini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Titingan berkata Sabah berbangga mewakili Malaysia sebagai tuan rumah temasya itu, sekali gus menyifatkannya penghormatan besar mencerminkan komitmen negeri dalam pembangunan sukan dan kerjasama serantau.

Beliau berkata temasya edisi ke-12 itu mempertandingkan sembilan jenis sukan iaitu olahraga, renang, memanah, badminton, e-sukan, karate (kategori Kata), boling padang, pencak silat (kategori Seni) serta sepak takraw, manakala kejohanan e-sukan diadakan selama dua hari bermula hari ini.

Kredit: FB - Nizam Abu Bakar Titingan

“Lebih daripada sekadar sebuah pertandingan, saya percaya e-sukan mampu menjadi medium menyatukan generasi muda, merapatkan hubungan antara negara serta membuka ruang kepada atlet untuk menonjolkan bakat, disiplin dan semangat kesukanan di pentas serantau,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Seri Dr Anil Sandhu pada Majlis Perasmian Kejohanan E-sukan BIMP-EAGA Friendship Games 2026 di Palm Square di sini hari ini.

Mengulas sejarah temasya itu, Nizam berkata BIMP-EAGA Friendship Games yang mula diperkenalkan pada 1996 di General Santos City, Filipina telah berkembang menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan persahabatan dan persefahaman antara negara anggota melalui sukan.

Kredit: FB - Nizam Abu Bakar Titingan

Beliau berkata Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah temasya berkenaan di Kuching, Sarawak pada 1997, Kota Kinabalu (2004) dan Labuan (2014), sebelum kembali dianjurkan di Sabah bagi edisi ke-12 tahun ini.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Sabah, kementeriannya, Lembaga Sukan Sabah, para penaja serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran temasya tersebut.

Beliau mengalu-alukan kehadiran semua delegasi dan atlet ke Sabah serta berharap kejohanan itu dapat melahirkan atlet berprestasi tinggi selain memperkukuh persahabatan antara generasi muda negara anggota BIMP-EAGA.

-- BERNAMA