Berita

Kemaskini: 24/11/2026 03:24 PM

Sabah Electricity Sasar Tanam 2,777 Pokok Di Hutan Simpan Garinono Dalam Tempoh Tiga Tahun

Pengerusi Sabah Electricity Datuk Saadiah Aziz (dua, kanan) menanam pokok belian sebagai simbolik perasmian Program ESG Penanaman Pokok di Hutan Simpan Garinono hari ini.

SANDAKAN, 24 Nov (Bernama) -- Sabah Electricity melaksanakan Program Penanaman Pokok di Hutan Simpan Garinono di sini dengan sasaran menanam 2,777 anak pokok di kawasan seluas 2.5 hektar dalam tempoh tiga tahun hingga 2028, kata Pengerusinya Datuk Saadiah Aziz.

Beliau berkata inisiatif dengan kerjasama Jabatan Perhutanan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan pembangunan sektor tenaga di Sabah dilakukan seimbang dengan usaha pemeliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber semula jadi secara mampan.

“Sebagai penyedia bekalan elektrik utama di Sabah, tanggungjawab kami bukan sahaja memastikan bekalan elektrik yang stabil dan boleh dipercayai, tetapi juga menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.

“Pada hari ini, kita tidak sekadar menanam pokok, kita sedang menanam harapan, memulihkan ekosistem dan mewariskan khazanah alam yang akan dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan selepas program itu di sini hari ini.

Saadiah berkata program tiga tahun itu memperuntukkan kos RM93,425 bagi proses penanaman kira-kira lima spesies pokok tempatan termasuk belian, seraya tembaga dan binuang.

"Pemilihan spesies yang bersesuaian dengan habitat semula jadi kawasan berkenaan penting bagi menyokong pemulihan ekosistem hutan serta mengekalkan kepelbagaian biodiversiti di Hutan Simpan Garinono.

"Pelaksanaan program ini turut merangkumi kerja-kerja penyediaan tapak, pembekalan anak pokok, aktiviti penanaman serta penyelenggaraan seperti pembajaan, pembersihan kawasan tanaman dan penggantian anak pokok yang mati, selain pemantauan berkala setiap tiga bulan," katanya.

Dalam pada itu, Saadiah berkata inisiatif berkenaan merupakan antara agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat khususnya dalam menyokong pemulihan ekosistem hutan, pemeliharaan biodiversiti serta usaha menangani perubahan iklim.

"Dari aspek kelestarian alam sekitar, program ini mampu menyumbang kepada usaha mitigasi perubahan iklim melalui penyerapan karbon, apabila mencapai tahap pertumbuhan yang diunjurkan, pokok-pokok ini berpotensi menyerap kira-kira 22 tan karbon dioksida setara (tCO₂e) setahun.

"Dalam tempoh 20 tahun, jumlah penyerapan karbon dianggarkan mencecah 440 tCO₂e, jumlah ini bersamaan dengan anggaran pelepasan karbon daripada pembakaran kira-kira 164,179 liter bahan api diesel daripada 110 buah kenderaan dengan purata pemanduan sejauh 20,000 kilometer setahun bagi setiap kenderaan," katanya.

Saadiah berkata pihaknya akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif kelestarian alam sekitar melalui kerjasama strategik pelbagai pihak dan usaha itu diharap dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada ekosistem hutan Sabah.

-- BERNAMA