Berita

Kemaskini: 24/11/2026 04:01 PM

Belanjawan Sabah 2027 Utamakan Keperluan, Perbelanjaan Berhemat - Masidi

Datuk Seri Masidi Manjun

KOTA KINABALU, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah sedang mempergiat persiapan bagi Belanjawan 2027 dengan meneliti setiap komponen perbelanjaan agar selaras dengan keperluan dan keutamaan negeri, di samping memastikan prinsip perbelanjaan berhemat terus dipelihara.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun berkata beliau bersama pegawai kerajaan negeri kini bekerja lebih masa untuk memperincikan setiap perkara yang perlu dimasukkan dalam belanjawan berkenaan, termasuk keperluan pembangunan infrastruktur asas.

“Perancangan teliti penting bagi memastikan perbelanjaan besar dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab, tanpa menjejaskan pengurusan kewangan negeri,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam 2026 di sini hari ini.

Mengulas kemungkinan peningkatan saiz belanjawan susulan penerimaan tambahan RM900 juta geran interim daripada Kerajaan Persekutuan, Masidi berkata dana itu dijangka membantu mengukuhkan kedudukan kewangan negeri sekiranya disalurkan dalam tempoh ditetapkan.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan juga memberi jaminan peruntukan tambahan itu akan diterima sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir, dengan pembayaran dijangka dilaksanakan hujung bulan ini.

Bagaimanapun, Masidi berkata hasil negeri masih dipengaruhi turun naik sektor minyak dan gas yang menyumbang kira-kira 50 peratus daripada pendapatan Sabah, selain faktor harga minyak antarabangsa dan kadar pertukaran mata wang.

“Walaupun harga minyak antarabangsa tinggi, nilai ringgit kita juga berada pada tahap yang tinggi. Kita menjual minyak dalam dolar Amerika, tetapi apabila hasil itu diterima dan ditukar kepada ringgit, kadar pertukaran turut menjadi faktor mempengaruhi pendapatan kita.

“Jadi, kadar pertukaran mata wang merupakan satu daripada faktor. Jika nilai ringgit tinggi, ia tidak semestinya mengakibatkan pertambahan pendapatan kepada kita,” katanya.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah dijadual bermula 4 Dis ini, antara lain menyaksikan pembentangan belanjawan negeri bagi 2027.

-- BERNAMA