Berita Terkini
Kerajaan Persekutuan Salur Dana Bayar Gaji Penjawat Awam Negeri Sembilan Jika Ada Permasalahan DUN
SEREMBAN, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan memberikan jaminan akan menyalurkan dana mencukupi bagi pembayaran gaji penjawat awam Negeri Sembilan pada Januari depan, sekiranya berlaku masalah perjalanan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan negeri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jaminan itu diberikan bagi memastikan kebajikan penjawat awam terpelihara dan pembayaran gaji mereka tidak terjejas, khususnya pada Januari depan.
Beliau berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican diminta mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim bagi menyelaraskan perkara itu.
“Saya telah minta Ketua Setiausaha Perbendaharaan memanggil Setiausaha Kerajaan Negeri bincang, saya beri jaminan, sekiranya ada masalah perjalanan DUN, saya akan pastikan Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan dana cukup untuk membayar gaji mereka,” kata beliau ketika berucap pada program Yakin MADANI bertemakan "Memaknai Harapan Rakyat" di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di sini.
Yang turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Datuk Seri Dr Awaludin Said.
Anwar berkata komitmen itu bukan sesuatu yang baharu kerana sebelum ini Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan bantuan bagi pembayaran gaji dan perbelanjaan Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu dan Perlis.
“Kalau (DUN) selesai tak apa. Tetapi kalau tak selesai, saya beri jaminan, saya tidak mahu penjawat awam tertanya-tanya bagaimana kalau tak dapat jaminan gaji untuk bulan Januari,” kata beliau.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan akan terus melaksanakan program yang telah dipersetujui bagi memastikan kepentingan rakyat Negeri Sembilan tidak terjejas oleh perkembangan politik negeri itu.
Anwar berkata semua projek pembangunan dan bantuan rakyat yang telah dirancang akan diteruskan selagi beliau memegang amanah sebagai Perdana Menteri.
Beliau turut menggesa penjawat awam supaya terus melaksanakan tugas dengan baik dan berintegriti, selain memastikan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Dalam pada itu, Anwar mahu semua permohonan pelaburan di Negeri Sembilan disegerakan kerana terdapat pelabur yang mengadu mengenai kelewatan proses berkenaan susulan kemelut politik di negeri itu.
Beliau berkata kelewatan urusan yang melibatkan kerajaan negeri, termasuk perkara berkaitan tanah, boleh menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek pelaburan.
Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, khususnya dalam memastikan proses pelaburan dapat diteruskan dan dipercepat.
Beliau berkata usaha mempercepat kelulusan dan pelaksanaan projek penting bagi menjana peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat Negeri Sembilan.
Semalam, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Exco Negeri Sembilan yang baharu di Istana Besar Seri Menanti, di Kuala Pilah.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Pelbagai Perkhidmatan Kerajaan Ditawarkan Pada Program Yakin MADANI N.sembilan
- 100,000 Pengunjung Disasar Hadir Program Yakin MADANI Di Paroi
- Ahmad Zahid Harap Pelantikan Exco Selesai Kemelut Di Negeri Sembilan
- PH Negeri Sembilan Junjung Kebijaksanaan Tuanku Muhriz Tangani Kemelut Politik
- Enam Exco Negeri Sembilan Dijangka Pegang Sekurang-kurangnya Dua Portfolio - MB