Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 27/11/2026 02:45 PM

Enam Exco Negeri Sembilan Dijangka Pegang Sekurang-kurangnya Dua Portfolio - MB

Enam Exco Negeri Sembilan Dijangka Pegang Sekurang-kurangnya Dua Portfolio - MB
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim (tengah) bergambar bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan (dari kiri) Mohamad Qayyum Abd Jalil yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling, Ridzuan Ahmad (Gemas), Suhaimi Aini (Kota), Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang), Koh Kim Swee (Repah) dan Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang) selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA PILAH, 27 Nov (Bernama) -- Setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang baharu dijangka memegang sekurang-kurangnya dua portfolio bagi memastikan kelancaran pentadbiran negeri.

Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata pembahagian portfolio masih diteliti dan akan diumumkan dalam tempoh sehari atau dua hari dengan beberapa portfolio berkemungkinan digabungkan berdasarkan kesesuaian serta kaitan bidang tugas.

“Buat ketika ini, belum ada portfolio yang ditetapkan dan saya mohon sehari, dualah untuk menetapkan portfolio kerana jumlah Exco diperkenankan setakat hari ini ialah enam orang. Kita ada banyak portfolio dan mungkin saya terpaksa menggabungkan beberapa portfolio.

“Jadi, sebab itulah ambil masa sikit … untuk teliti betul-betul mengikut kesesuaian, kalau tak berkaitan antara satu sama lain pun susah juga Exco nak bawa, kalau pun dua (portfolio), tetapi ada hubung kaitnya, jadi mudah mereka nak laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah serta Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Exco Negeri Sembilan di Istana Seri Menanti, di sini hari ini.

Terdahulu, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Exco Negeri Sembilan yang baharu di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Barisan Exco berkenaan ialah Suhaimi Aini (Kota), Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang), Ridzuan Ahmad (Gemas), Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang), Mohamad Qayyum Abd Jalil (Senaling) dan Koh Kim Swee (Repah).

Pelantikan Exco tersebut menyaksikan perubahan dalam komposisi pentadbiran kerajaan negeri berbanding 10 barisan Exco sebelum ini susulan perkembangan politik yang berlaku di Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan negeri akan memberikan tumpuan penuh untuk menyelesaikan segala kertas kerja yang tertunggak selepas hampir dua bulan tiada mesyuarat Exco diadakan.  

“Sebahagian besar kertas tertangguh ini melibatkan kepentingan rakyat. Seawal minggu depan, saya tetapkan mesyuarat Exco diadakan pada Selasa dan Khamis dan mungkin lebih kerap lagi supaya dapat menyelesaikan tunggakan yang berlaku,” katanya sambil menambah mempertimbangkan wakil wanita dalam pentadbiran negeri.

Beliau turut memaklumkan mesyuarat Exco akan datang akan mengesahkan belanjawan negeri sebelum dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz selain mendapatkan perkenan tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka berlangsung pada Disember ini. 

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Barisan Nasional memenangi 18 kerusi, manakala Perikatan Nasional memperoleh tujuh kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN.

-- BERNAMA