Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 28/11/2026 12:34 AM

100,000 Pengunjung Disasar Hadir Program Yakin MADANI Di Paroi

100,000 Pengunjung Disasar Hadir Program Yakin MADANI Di Paroi
Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Program Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri Mohd Zammidi Mohd Asri meninjau persiapan Program Yakin MADANI yang berlangsung esok dan Ahad di Kompleks Belia dan Sukan Paroi.

SEREMBAN, 27 Nov (Bernama) -- Program Yakin MADANI yang akan berlangsung pada esok serta Ahad di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, menyasarkan kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung menerusi penyertaan 29 agensi serta institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Program Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri Mohd Zammidi Mohd Asri berkata persiapan kini mencapai kira-kira 70 peratus dan dijangka selesai sepenuhnya malam ini.

Beliau berkata pelbagai pengisian disediakan merangkumi penyampaian perkhidmatan agensi dan kementerian selain aktiviti khusus untuk menarik penyertaan golongan muda.

"Antara aktiviti disediakan ialah cabaran kecergasan berhalangan fizikal dan larian ria (fun run). Pengunjung turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah disediakan penganjur utama khususnya Kementerian Pengangkutan (MOT).

"Hadiah disediakan termasuk tiket penerbangan, tiket pelayaran (cruise), tiket percuma perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), nombor pendaftaran kenderaan istimewa dan pelbagai hadiah menarik," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Program anjuran MOT sebagai kementerian peneraju dengan kerjasama Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang bertemakan “Memaknai Harapan Rakyat” itu bertujuan mendekatkan kerajaan dan masyarakat melalui penyampaian maklumat, perkongsian inisiatif serta penyediaan perkhidmatan secara langsung.

Program itu yang akan bermula pada 9 pagi hingga 10 malam esok serta 9 pagi hingga 5 petang Ahad menyediakan pelbagai perkhidmatan daripada agensi kerajaan termasuk perkhidmatan bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pendaftaran pekerjaan serta perkhidmatan kesihatan dan pergigian serta khidmat kebajikan masyarakat.

Penganjurannya mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan berteraskan nilai Malaysia MADANI khususnya ihsan, kesejahteraan dan keterangkuman bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.

Program di lima lokasi terpilih di seluruh negara yang bermula esok dianjurkan PACU Pejabat Perdana Menteri dan merupakan manifestasi iltizam kerajaan dalam memastikan setiap dasar serta inisiatif diterjemahkan kepada manfaat nyata buat rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri program itu esok.

-- BERNAMA