Berita Terkini
Pelbagai Perkhidmatan Kerajaan Ditawarkan Pada Program Yakin MADANI N.sembilan
SEREMBAN, 28 Nov (Bernama) -- Pelbagai perkhidmatan kerajaan, pameran interaktif serta aktiviti menarik menanti pengunjung pada Program Yakin MADANI 2026 Peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung dua hari bermula hari ini di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) di sini.
Yakin MADANI turut membuka ruang interaksi dua hala antara masyarakat dengan wakil kementerian dan agensi kerajaan, sekali gus membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat, menikmati kemudahan serta menyelesaikan urusan secara langsung.
Program anjuran Kementerian Pengangkutan (MOT) sebagai kementerian peneraju dengan kerjasama Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan itu yang bertemakan “Memaknai Harapan Rakyat,” bertujuan mendekatkan kerajaan dan masyarakat melalui penyampaian maklumat, perkongsian inisiatif, serta penyediaan perkhidmatan secara langsung.
Antara perkhidmatan yang disediakan ialah penukaran topi keledar, penjualan nombor pendaftaran kenderaan serta pendaftaran MyLesen B2, tertakluk kepada syarat dan kelayakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pameran, khidmat penerangan dan konsultasi berkaitan pengangkutan awam darat oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Selain itu, terdapat juga promosi Pas MyKomuter50 dengan 3,000 pas percuma ditawarkan kepada pengunjung terawal yang mendaftar, aktiviti simulator anjungan kapal dan khidmat nasihat kerjaya maritim, aktiviti interaktif simulator dron serta pameran, kuiz dan aktiviti keselamatan jalan raya.
Kementerian Kewangan (MoF) pula menyediakan perkhidmatan informasi dan inisiatif Belanjawan 2027, semakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pembiayaan Mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) dan semakan Wang Tak Dituntut (WTD).
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula membawakan Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI yang menawarkan penjimatan sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.
Program yang bermula pada 9 pagi hingga 10 malam pada hari ini serta 9 pagi hingga 5 petang pada esok turut menyediakan perkhidmatan bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pendaftaran pekerjaan serta perkhidmatan kesihatan dan pergigian serta khidmat kebajikan masyarakat.
Penganjuran ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan berteraskan nilai Malaysia MADANI, khususnya ihsan, kesejahteraan dan keterangkuman, demi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.
Program di lima lokasi terpilih di seluruh negara bermula 28 Nov yang dianjurkan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri itu merupakan manifestasi iltizam kerajaan untuk memastikan setiap dasar dan inisiatif diterjemahkan kepada manfaat nyata buat rakyat.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- 100,000 Pengunjung Disasar Hadir Program Yakin MADANI Di Paroi
- Ahmad Zahid Harap Pelantikan Exco Selesai Kemelut Di Negeri Sembilan
- PH Negeri Sembilan Junjung Kebijaksanaan Tuanku Muhriz Tangani Kemelut Politik
- Enam Exco Negeri Sembilan Dijangka Pegang Sekurang-kurangnya Dua Portfolio - MB
- Enam ADUN Angkat Sumpah Exco Negeri Sembilan Hari Ini