Berita Terkini
PRN NS: Anwar Seru Pengundi Keluar Mengundi, Beri Peluang PH Teruskan Agenda Kestabilan
SEREMBAN, 31 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengundi Negeri Sembilan keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 esok serta memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) bagi meneruskan agenda kestabilan dan pertumbuhan negeri itu.
Beliau turut menyeru pengundi Melayu, Cina, India dan Orang Asli melaksanakan tanggungjawab pada hari pengundian bagi memberi mandat kepada PH meneruskan khidmat dalam menjamin kestabilan serta memacu pertumbuhan yang memberi kesejahteraan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan bersama kerajaan Persekutuan dan kerajaan MADANI.
"Saya seru penduduk dan pengundi Negeri Sembilan, terutamanya majoriti yang Muslim dan rakan-rakan dalam kalangan Cina, India serta Orang Asli, mari kita gunakan tanggungjawab kita.
"Kalau cadangan saya yang mewakili Pakatan Harapan, mohon pertimbangan supaya diberikan peluang kepada Pakatan Harapan meneruskan khidmat menjamin kestabilan dan memacu pertumbuhan yang akan memberi jaminan kesejahteraan kepada semua rakyat Negeri Sembilan bersama kerajaan Persekutuan, kerajaan MADANI," katanya dalam ucapan menerusi video di Facebooknya hari ini.
Pengerusi PH itu berkata sepanjang tempoh kempen pelbagai pandangan telah dikemukakan dan tidak menolak kemungkinan berlaku keterlanjuran, justeru, menyeru semua pihak supaya saling memaafkan serta kembali menjalin hubungan baik selepas proses pilihan raya.
“Pilihan raya Negeri Sembilan bermula, kita telah lalui waktu kempen dan mengemukakan berbagai-bagai pandangan dan saya percaya dalam proses itu kadang-kadang ada keterlanjuran.
“Jadi marilah kita bersama-sama mohon maaf antara satu sama lain dan bersahabat semula kerana kita ini bertarung dalam kalangan semua rakan-rakan, rakyat malaysia dan pengundi Negeri Sembilan,” katanya.
Sebanyak 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), esok.
PH bertanding di kesemua 36 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional (BN) (25), Bersatu (24), Perikatan Nasional (PN) (11) dan empat calon Bebas, manakala Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing menampilkan seorang calon.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- PRN NS: Pengundi Digalak Ikut Waktu Yang Disyorkan, Dilarang Guna Telefon Bimbit Ketika Undi
- Laporan Penuh RCI Tabung Haji Didedah Secara Telus, Tanpa Tapisan - Anwar
- RM328 Juta Untuk Laksana 24 Projek Pembangunan Kesihatan Di Negeri Sembilan
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka
- PRN NS: Nurul Izzah Seru Sokong Calon PH, Kekalkan Aminuddin