Berita Terkini
RM328 Juta Untuk Laksana 24 Projek Pembangunan Kesihatan Di Negeri Sembilan
SEREMBAN, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited memperkukuh sektor kesihatan di Negeri Sembilan menerusi pelaksanaan 24 projek pembangunan serta kerja naik taraf kemudahan kesihatan bagi meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.
Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan RM328 juta bagi melaksanakan projek berkenaan, selain menyalurkan RM26.6 juta menerusi inisiatif Bitara MADANI bagi membaik pulih 88 klinik dan fasiliti kesihatan yang daif.
"Segala hasil kemakmuran ekonomi ini tidak disimpan begitu sahaja, sebaliknya dikembalikan kepada rakyat, khususnya dalam menaik taraf kemudahan kesihatan negeri.
"Ini adalah bukti kerja nyata sebuah pentadbiran yang telus dan benar-benar peduli akan kebajikan rakyat, bukannya sekadar menabur janji manis waktu pilihan raya. Ayuh kita pastikan kelangsungan kecemerlangan ini diteruskan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dzulkefly berkata pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan itu turut didorong pengurusan ekonomi serta kewangan negeri yang cekap di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata nilai pelaburan di Negeri Sembilan melonjak 6.6 kali ganda hingga mencecah RM19 bilion.
"Kecekapan urus tadbir kewangan di bawah pimpinan Menteri Besar turut melonjakkan lebihan pendapatan (surplus) negeri sebanyak 1,450 kali ganda kepada RM203 juta berbanding pentadbiran sebelum ini," katanya.
Beliau berkata pencapaian berkenaan perlu diteruskan bagi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat di Negeri Sembilan dapat diperkasakan secara berterusan.
Sebanyak 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), esok.
PH bertanding di kesemua 36 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional (BN) (25), Bersatu (24), Perikatan Nasional (11) dan empat calon Bebas, manakala Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing menampilkan seorang calon.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Laporan Penuh RCI Tabung Haji Didedah Secara Telus, Tanpa Tapisan - Anwar
- PRN NS: Anwar Seru Pengundi Keluar Mengundi, Beri Peluang PH Teruskan Agenda Kestabilan
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka
- PRN NS: Nurul Izzah Seru Sokong Calon PH, Kekalkan Aminuddin
- PRN Negeri Sembilan: SPRM Terima Empat Laporan