Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 31/07/2026 04:21 PM

PRN NS: Nurul Izzah Seru Sokong Calon PH, Kekalkan Aminuddin

PRN NS: Nurul Izzah Seru Sokong Calon PH, Kekalkan Aminuddin
Timbalan President Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar membuat kunjungan Ziarah Kasih ke kediaman Jaafar Kaslam di Bukit Pelandok hari ini.

PORT DICKSON, 31 Julai (Bernama) -- Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyeru pengundi di Negeri Sembilan keluar menunaikan tanggungjawab mereka esok dengan memberi sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata sokongan wajar diberikan kepada Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi untuk memastikan kesinambungan usaha pembangunan di negeri itu.

“Kita perlukan dukungan semua. Saya faham ini antara pertandingan yang sangat sengit. Ini adalah sesuatu yang hanya boleh diputuskan pengundi di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga seorang pesakit dijangkiti virus Japanese Encephalitis (JE) menerusi Program Ziarah Kasih bersama calon PH bagi DUN Chuah Datuk Yew Boon Lye, di Bukit Pelandok di sini hari ini.

Mengenai kempen di DUN Chuah, Nurul Izzah berkata usaha mendekati pengundi terus dipergiat dan PH tidak boleh mengambil mudah saingan walaupun kerusi itu antara kawasan yang memberi sokongan kuat kepada gabungan berkenaan.

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya tidak terpengaruh dengan sebarang fitnah yang dilemparkan pihak tertentu, sebaliknya menilai rekod perkhidmatan calon PH yang telah lama berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Katanya, Aminuddin yang bertanding bagi kerusi DUN Linggi dan merupakan pemimpin utama negeri telah memberi penjelasan terhadap pelbagai tuduhan dilemparkan, selain memberi tumpuan kepada isu berkaitan rakyat tempatan.

“Kita kena selesaikan dan alhamdulillah bila ada pertembungan, sekurang-kurangnya negeri bawah PH dapat diserlahkan prestasi,” katanya.

DUN Chuah menyaksikan pertandingan antara calon PH Yew Boon Lye menentang calon Barisan Nasional (BN) Ah Hau.

Esok, sebanyak  859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos, menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PH bertanding di semua 36 kerusi DUN, diikuti BN (25), Bersatu (24), Perikatan Nasional (PN) (11) dan empat calon Bebas, manakala Barisan Jamaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing menampilkan seorang calon.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA