Berita Terkini
Pengundi Perlu Nilai Manifesto Berdasarkan Kemampuan Dilaksana - Tengku Zafrul
PORT DICKSON, 26 Julai (Bernama) -- Pengundi perlu menilai manifesto yang ditawarkan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 berdasarkan kemampuan untuk melaksanakannya dan bukan sekadar janji ketika berkempen.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata walaupun semua parti mempunyai tawaran dan fokus masing-masing, perkara paling penting ialah memastikan setiap janji yang dibuat benar-benar dapat dilaksanakan selepas memperoleh mandat rakyat.
"Kita sudah lihat tiga manifesto iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dan saya rasa dalam semua itu ada isi fokus masing-masing. Saya mahu biar pengundi yang menilai tetapi apa yang penting bagi saya manifesto ini kita betul-betul perlu laksanakan.
"Dalam tempoh dua tahun lapan bulan ini, berdasarkan rekod kerajaan PH Negeri Sembilan banyak perkara yang disebut telah pun dilaksanakan. Jadi akhirnya ia mengenai pelaksanaan manifesto itu bukan sekadar janji,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyertai kempen calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung Datuk Dr G.Rajasekaran di bandar Port Dickson hari ini.
Tengku Zafrul yang juga Ex-Officio Biro Politik PKR berkata prestasi kerajaan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran PH juga wajar dijadikan pertimbangan oleh pengundi dalam membuat keputusan pada PRN kali ini.
Mengenai dakwaan kononnya berlaku perpecahan dalam PKR Negeri Sembilan termasuk usaha mensabotaj calon, beliau berkata berdasarkan pemantauannya bersama pimpinan serta jentera parti di beberapa kawasan, perkara itu tidak berlaku.
Sementara itu, Rajasekaran berkata penerimaan rakyat terhadapnya sepanjang seminggu lebih berkempen adalah positif dan yakin akan dapat mempertahankan kerusi itu.
Pada PRN kali ini, Rajasekaran berhadapan saingan lima penjuru membabitkan A. Achuthan (BN), M. Leevineshwaraan (Parti Pribumi Bersatu Malaysia - Bersatu ), Datuk A. Saravanan (Bebas) dan Islah Wahyudi (Bebas).
Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada Selasa ini manakala hari mengundi 1 Ogos.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- PRN NS: PM Mohon Anggota ATM, PDRM Beri Kepercayaan Calon PH
- PRN NS: Fahmi Gesa Parti Bertanding Kempen Fokus Tawaran, Bukan Politik 3R Dan Fitnah
- Tiada Pihak Kebal Undang-undang Jika Dikaitkan Dalam Laporan RCI TH - Ahmad Zahid
- PRN NS: Pembangunan, Peluang Pekerjaan Setempat Harapan Pengundi Muda Jempol
- PRN NS: Tiga Kertas Siasatan Dibuka Berkaitan Kesalahan Pilihan Raya - Polis