Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 26/07/2026 03:26 PM

PRN NS: Fahmi Gesa Parti Bertanding Kempen Fokus Tawaran, Bukan Politik 3R Dan Fitnah

PRN NS: Fahmi Gesa Parti Bertanding Kempen Fokus Tawaran, Bukan Politik 3R Dan Fitnah
\Menteri Komunikasi merangkap Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika sidang media PH bertajuk Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Perlu Bebas Rasisme, 3R di sebuah hotel. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 26 Julai (Bernama) -- Semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan digesa berkempen secara matang dengan menampilkan idea, dasar serta rekod pencapaian dan bukannya memainkan sentimen perkauman, agama, institusi diraja (3R) atau menyebarkan fitnah demi meraih sokongan pengundi.

Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pilihan raya merupakan medan demokrasi untuk rakyat memilih masa depan negeri, justeru persaingan politik seharusnya tertumpu kepada penyelesaian terhadap isu yang dihadapi rakyat, termasuk peluang pekerjaan, pemilikan rumah, kos sara hidup dan pembangunan ekonomi negeri.

Beliau berkata sepanjang kempen yang memasuki hari kesembilan hari ini masih terdapat individu dan parti  yang memainkan sentimen perkauman serta menyebarkan fitnah bagi mengalih perhatian daripada isu sebenar yang dihadapi rakyat

“Parti-parti yang bertanding sepatutnya bersaing dengan idea, dasar, rekod pencapaian dan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya menggunakan politik kebencian.

“Apabila sebuah parti sudah kehabisan idea, mereka menjual kebencian. Tapi parti yang yakin dengan rekod dan tawarannya, mereka menawarkan harapan seperti Pakatan Harapan (PH) yang memilih untuk menawarkan harapan, bukan kebencian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH Negeri Sembilan yang turut disertai Naib Presiden Amanah Senator Dr Hatta Ramli dan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan J.Arul Kumar di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Fahmi menyeru semua parti menghormati undang-undang pilihan raya serta memastikan kempen berlangsung secara matang, berhemah dan berasaskan fakta.

Beliau berkata Negeri Sembilan selama ini dikenali sebagai negeri yang aman dan harmoni dan perpaduan yang telah dibina sejak sekian lama tidak seharusnya dirosakkan demi kepentingan politik semata-mata.

Fahmi berkata PH akan terus menawarkan politik yang sederhana, inklusif dan membina dengan menekankan kepimpinan yang bekerja serta menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Ditanya mengenai penglibatan selebriti dan juga pempengaruh Caprice dalam kempen PH, Fahmi menegaskan individu itu bukan pempengaruh rasmi yang mewakili gabungan itu untuk PRN Negeri Sembilan.

Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada Selasa ini 28 Julai, manakala hari mengundi pada 1 Ogos.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA