Berita Terkini
PRN NS: PM Mohon Anggota ATM, PDRM Beri Kepercayaan Calon PH
SEREMBAN, 26 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 Selasa ini memberi kepercayaan kepada calon Pakatan Harapan (PH).
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook hari ini, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata meskipun beliau dan para menteri Kabinet telah berusaha sebaik mungkin dalam menjaga kebajikan seluruh warga ATM dan PDRM namun beliau percaya masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
“Ini termasuklah (soal) kebajikan pasukan tentera dan polis dari segi gaji mereka, kemudahan-kemudahan asas mereka, perumahan mereka dan kemudahan pendidikan bagi anak-anak dan kesihatan bagi ibu bapa termasuk Sumbangan Tunai Rahmah serta Sumbangan Asas Rahmah.
“Berilah kesempatan supaya kita boleh meneruskan khidmat... selain daripada menyatakan penghargaan kepada saudara-saudara atas khidmat dan pengorbanan, marilah kita bersama-sama bekerja, berkhidmat dan berjuang untuk mengangkat martabat negara Malaysia yang tercinta dan berilah sokongan kepada Pakatan Harapan,” katanya.
Anwar juga berkata setiap undi bukan sekadar menentukan hala tuju negeri tetapi juga amanah yang dipikul kerajaan untuk terus memperkukuh kebajikan anggota pasukan keselamatan dan keluarga mereka.
“Namun, dengan sokongan dan mandat berterusan, insya-Allah kami akan terus bekerja lebih kuat demi mengangkat martabat negara, membela kebajikan rakyat serta memperkukuh kesejahteraan seluruh warga pasukan keselamatan.
“Kepada Allah SWT kita berserah,” kata beliau.
Pada Selasa ini, sebanyak 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis akan menunaikan tanggungjawab masing-masing di 38 pusat pengundian awal di seluruh negeri.
Pengundian PRN Negeri Sembilan kali ini ditetapkan pada 1 Ogos.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Pengundi Perlu Nilai Manifesto Berdasarkan Kemampuan Dilaksana - Tengku Zafrul
- PRN NS: Fahmi Gesa Parti Bertanding Kempen Fokus Tawaran, Bukan Politik 3R Dan Fitnah
- Tiada Pihak Kebal Undang-undang Jika Dikaitkan Dalam Laporan RCI TH - Ahmad Zahid
- PRN NS: Pembangunan, Peluang Pekerjaan Setempat Harapan Pengundi Muda Jempol
- PRN NS: Tiga Kertas Siasatan Dibuka Berkaitan Kesalahan Pilihan Raya - Polis