Berita Terkini
PRN NS: Pembangunan, Peluang Pekerjaan Setempat Harapan Pengundi Muda Jempol
Oleh Ahmad Erwan Othman
JEMPOL, 26 Julai (Bernama) -- Kemajuan ekonomi, peluang pekerjaan setempat serta kemudahan pendidikan yang setara dengan kawasan bandar menjadi antara harapan golongan pengundi kali pertama di kawasan ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, 1 Ogos ini.
Beberapa anak muda yang ditemui Bernama turut menzahirkan rasa teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama dan pada masa sama berharap wakil rakyat yang dipilih mampu membawa perubahan positif dan relevan kepada kawasan diwakilinya.
Pelajar Tingkatan Enam Atas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir, Syafiq Rambe Abd Kadir, 19, berkata PRN kali ini merupakan peluang penting untuk menyuarakan hasrat dan pandangan generasi muda di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting.
"Bagi saya apa yang penting dan relevan, saya mahu melihat pembangunan lebih pesat di Negeri Sembilan, khususnya di Jempol ini dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia tempatan agar tidak perlu berhijrah ke luar," katanya ketika ditemui pada program Pentarama X Kelab Malaysiaku dan Kempen Internet Selamat di Pejabat Penerangan Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol, di sini hari ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dengan dihadiri 60 pelajar Tingkatan Enam dari tiga sekolah menengah di Jempol.
Syafiq Rambe, anak bongsu daripada lima beradik yang menetap di Taman Sri Serting berkata kepesatan pembangunan ekonomi setempat adalah kunci utama dalam menjamin kestabilan masa depan golongan belia.
Pelajar Tingkatan Enam Rendah SMK Datuk Mansur Bahau, Eason Yong Yi Shen, 18, yang akan mengundi bagi DUN Bahau pula berharap kerajaan baharu yang akan dibentuk kelak dapat memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur pendidikan lebih lengkap, termasuk menambah bilangan perpustakaan awam dan sekolah, di samping memperkasa sektor ekonomi.
Damia Qaisara Mohd Riduan, 19, pelajar Tingkatan Enam Atas SMK Batu Kikir yang merupakan pengundi DUN Bahau pula mahu kerajaan baharu dapat menepati janji untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang relevan di Negeri Sembilan, selain membantu golongan belia mendepani cabaran landskap pekerjaan pada era kecerdasan buatan (AI).
Pelajar Tingkatan Enam Rendah SMK Batu Kikir S. Rajeswary, 18, pula berharap wakil rakyat DUN Jeram Padang yang dipilih nanti dapat membantunya menyediakan biasiswa pendidikan supaya impiannya untuk bergelar seorang pendidik tercapai.
Parlimen Jempol yang mempunyai empat DUN di bawahnya iaitu Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau, mempunyai keseluruhan 96,716 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRN kali ini dengan 48.48 peratus atau 47,175 lelaki dan 51.22 peratus atau 49,541 perempuan.
PRN kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru di DUN Serting iaitu antara penyandangnya, Mohd Fairuz Mohd Isa daripada Perikatan Nasional (PN), Muhammad Noraffendy Mohd Salleh daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Yaacob Mahmood daripada Pakatan Harapan (PH).
DUN Palong turut menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan penyandangnya, Datuk Mustapha Nagoor mewakili Barisan Nasional (BN), Muhammad Zahin Zinal Abidin (PH) dan Rebin Birham (Bersatu), manakala DUN Bahau pula satu lawan satu antara Teo Kok Seong (PH) dan Chong Fui Ming (BN).
DUN Jeram Padang pula menyaksikan penyandangnya, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN) ditentang tiga pencabar iaitu Sri Sanjeevan Ramakrishnan (Bersatu), G. Manivannan (PH) dan Dayana Dal daripada Parti Orang Asli Malaysia (Asli).
Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada Selasa ini manakala hari mengundi 1 Ogos.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Pengundi Perlu Nilai Manifesto Berdasarkan Kemampuan Dilaksana - Tengku Zafrul
- PRN NS: PM Mohon Anggota ATM, PDRM Beri Kepercayaan Calon PH
- PRN NS: Fahmi Gesa Parti Bertanding Kempen Fokus Tawaran, Bukan Politik 3R Dan Fitnah
- Tiada Pihak Kebal Undang-undang Jika Dikaitkan Dalam Laporan RCI TH - Ahmad Zahid
- PRN NS: Tiga Kertas Siasatan Dibuka Berkaitan Kesalahan Pilihan Raya - Polis