Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 27/11/2026 01:17 PM

Enam ADUN Angkat Sumpah Exco Negeri Sembilan Hari Ini

Enam ADUN Angkat Sumpah Exco Negeri Sembilan Hari Ini
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang Abdul Fatah Zakaria dan ADUN Senaling Mohamad Qayyum Abd Jalil mengangkat sumpah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Seri Menanti hari ini.

KUALA PILAH, 27 Nov (Bernama) -- Enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dilantik hari ini dengan kesemua muka baharu dalam barisan pentadbiran kerajaan negeri.

Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini.

Berangkat sama ke istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.

Enam ADUN Angkat Sumpah Exco Negeri Sembilan Hari Ini
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Suhaimi Aini, ADUN Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Gemas Ridzuan Ahmad mengangkat sumpah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Seri Menanti hari ini.

Barisan Exco berkenaan ialah Suhaimi Aini (Kota), Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang), Ridzuan Ahmad (Gemas), Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang), Mohamad Qayyum Abd Jalil (Senaling) dan Koh Kim Swee (Repah).

Istiadat itu turut dihadiri Undang Luak Sungei Ujong Datuk Klana Petra Datuk Muhammad Faris Johari, Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Datuk Hassan Ab Hamid, Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Azrin Khairi serta Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.

Pelantikan Exco baharu berkenaan menyaksikan perubahan dalam komposisi pentadbiran kerajaan negeri berbanding 10 barisan Exco sebelum ini susulan perkembangan politik yang berlaku di Negeri Sembilan.

Enam ADUN Angkat Sumpah Exco Negeri Sembilan Hari Ini
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah Koh Kim Swee mengangkat sumpah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Seri Menanti hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

-- BERNAMA