Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 20/11/2026 11:04 AM

Ismail Menghadap Tuanku Muhriz Di Istana Hinggap Pagi Ini

Ismail Menghadap Tuanku Muhriz Di Istana Hinggap Pagi Ini
Datuk Ismail Lasim

SEREMBAN, 20 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim tiba di Istana Hinggap di sini pada 10.17 pagi ini, bagi menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, susulan kemelut yang melanda negeri ini.

Terdahulu, Tuanku Muhriz berangkat tiba di istana berkenaan kira-kira 9.30 pagi, diikuti ketibaan tiga Undang Luak Negeri Sembilan.

Mereka ialah Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Datuk Hassan Ab Hamid, Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Azrin Khairi.

Ismail, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, difahamkan menghadap baginda bagi membincangkan kemelut semasa di negeri ini.

Isnin lepas, Ismail, 67, dilaporkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 Ogos lepas.

Istana Negeri Sembilan pada Selasa memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Pada hari sama, Tuanku Muhriz dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail dengan sesi menghadap berlangsung dari 5 hingga 6.30 petang.

-- BERNAMA