Berita Terkini
Kemelut Perjawatan Negeri Sembilan Perlu Dirujuk Kepada Peguam Negara - SPA
KUALA KANGSAR, 14 Okt (Bernama) -- Kemelut berkaitan perjawatan di Negeri Sembilan perlu dilihat berdasarkan undang-undang dan kenyataan pihak berautoriti, termasuk Jabatan Peguam Negara.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata orang ramai tidak seharusnya membuat tafsiran sendiri berhubung perkara itu tanpa mengetahui fakta sebenar.
“Jadi, saya nasihatkan kepada semua agar kita berlandaskan kepada undang-undang yang ada di negara ini dan autoriti yang mempunyai kewibawaan untuk mengeluarkan apa juga bentuk kenyataan.
“Netizen tak usahlah mengadakan polemik dan membuat tafsiran sendiri tanpa mengetahui perkara yang sebenar,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat MADANI SPA di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut pentadbiran Negeri Sembilan susulan isu pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Muzalmah Mustapha Kamal baru-baru ini.
Ahmad Jailani berkata orang ramai boleh merujuk kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara berhubung perkara berkaitan tadbir urus serta implikasi perundangan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pelaksanaan program Sekolah Angkat MADANI SPA 2026 di SMK Simpang Beluru berjaya diselesaikan dalam tempoh tiga bulan dengan peruntukan RM100,000.
Beliau berkata inisiatif itu memberi manfaat kepada 770 pelajar serta 50 guru dan pentadbir sekolah menerusi penambahbaikan kemudahan fizikal, pendidikan digital dan pembangunan modal insan.
“Proses dan prosedurnya juga nampak lebih mudah, lebih mantap dan lebih berkesan dari segi kos efektifnya dan memang dapat dinikmati oleh pelajar, khususnya melalui pembelian dan naik taraf infrastruktur sekolah,” katanya.
Antara kemudahan yang ditambah baik ialah Bilik Alat Pandang Dengar, Pusat Sumber Sekolah dan pejabat pentadbiran selain penyediaan papan pintar interaktif, komputer meja, mesin pencetak serta perabot bagi menyokong pembelajaran yang lebih interaktif.
Program itu turut merangkumi Program Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia 2026 yang melibatkan 134 calon peperiksaan serta lawatan penanda aras ke SMK Pangkalan Lebai Man di Sungai Petani, Kedah yang disertai 50 warga pendidik dan anggota kumpulan pelaksana.
Ahmad Jailani berkata pihak sekolah perlu menyediakan perancangan penggunaan aset bagi memastikan kemudahan yang dibekalkan dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak menjadi projek gajah putih.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Semua Sekolah KPM Di Tiga Negeri, Putrajaya Beroperasi Seperti Biasa Esok
- Raja-raja Melayu Seru Pihak Luar Jangan Politikkan Pertikaian Takhta
- Kewibawaan Institusi Raja Perlu Dipelihara Berlandaskan Integriti, Keadilan - Tuanku Muhriz
- Sekolah Di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka Dan Pahang Kembali Dibuka Esok
- Tuanku Muhriz Tidak Berangkat Hadiri Mesyuarat Majlis Raja-raja, Tumpu Urusan Negeri