Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 14/10/2026 08:18 PM

Raja-raja Melayu Seru Pihak Luar Jangan Politikkan Pertikaian Takhta

Raja-raja Melayu Seru Pihak Luar Jangan Politikkan Pertikaian Takhta
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-273 di Istana Negara hari ini. Turut berangkat Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Raja-Raja Melayu menyeru pihak luar supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan pertikaian takhta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebaliknya menyerahkan usaha penyelesaian kepada pihak berkepentingan dan berautoriti melalui saluran yang sah, tertib serta berwibawa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dengan menjunjung titah Raja-Raja Melayu hari ini, Raja-Raja Melayu turut menyeru semua pihak terlibat supaya mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta penghormatan terhadap adab, adat dan maruah institusi diraja.

“Isu yang sedang dihadapi, jangan sama sekali dijadikan bahan politik, modal untuk meraih sokongan atau ruang untuk meningkatkan pengaruh atau medan untuk memenuhi agenda perebutan kuasa.

Raja-raja Melayu Seru Pihak Luar Jangan Politikkan Pertikaian Takhta
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-273 di Istana Negara hari ini. Turut berangkat Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Berangkat sama Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail. Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Kenyataan-kenyataan yang bercanggah dan kurang bertanggungjawab hanya akan mengeruhkan keadaan, meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat dan mencemarkan kemuliaan institusi diraja,” menurut kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu menyeru supaya sebarang perbezaan pendirian diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa, secara beradab dan beradat dalam semangat syura serta musyawarah berlandaskan undang-undang dan berpandukan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Ruang perundingan perlu dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan demi mencapai penyelesaian yang bermaruah tanpa merendah dan menghina mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu turut mengingatkan bahawa takhta adalah amanah yang membawa tanggungjawab besar terhadap negeri dan rakyat.

Sehubungan dengan itu, semangat kekeluargaan, keharmonian masyarakat dan usaha memuliakan institusi diraja hendaklah sentiasa dipelihara sepanjang usaha mencari penyelesaian selain mengelakkan kenyataan yang boleh mengaibkan atau tindakan yang mengeruhkan keadaan.

Menurut kenyataan itu, sebarang kenyataan atau tindakan tanpa memahami adat, sejarah dan kerangka perlembagaan negeri boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Orang ramai turut diseru agar tidak menyebarkan khabar yang belum disahihkan serta tidak terpengaruh dengan naratif yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

“Berikan ruang dan masa kepada pihak berautoriti untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah mereka dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” menurut kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu turut mendoakan supaya Allah SWT melimpahi semua pihak berkaitan dengan kebijaksanaan mengatasi emosi dan muafakat mengatasi perselisihan.

“Kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat hendaklah menjadi keutamaan semua pihak. Kepentingan Negeri Sembilan, keharmonian rakyat dan kemuliaan institusi diraja hendaklah didahulukan.

“Dalam keadaan seperti ini, sikap terbaik ialah memelihara adab, menghormati adat, menjaga tutur kata dan tidak mencampuri urusan yang bukan bidang kita,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA