Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 12/10/2026 05:51 PM

Tuanku Muhriz Tidak Berangkat Hadiri Mesyuarat Majlis Raja-raja, Tumpu Urusan Negeri

Tuanku Muhriz Tidak Berangkat Hadiri Mesyuarat Majlis Raja-raja, Tumpu Urusan Negeri
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir

SEREMBAN, 12 Okt (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir memutuskan untuk tidak berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi memberikan tumpuan kepada urusan negeri iaitu Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu.

Pengelola Bijaya Diraja Datuk Azizi Mohamad Ali dalam kenyataan hari ini menjelaskan bahawa kehadiran Tuanku Muhriz ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak memerlukan jemputan.

"Merujuk kepada laporan media tersiar pada hari ini, bahawa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dilaporkan telah menerima jemputan untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja, Istana Negeri Sembilan ingin menjelaskan bahawa kehadiran ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak memerlukan jemputan.

"Selain itu, Ke Bawah Duli Tuanku juga tidak menerima surat atau warkah jemputan daripada Pengerusi Mesyuarat Sultan Perak, untuk menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis Raja-Raja," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azizi berkata Istana Negeri Sembilan juga menegaskan tiada sebarang kenyataan media pernah dikeluarkan oleh pihak Istana berhubung perkara itu sebelum ini kepada mana-mana pihak atau media.

-- BERNAMA