Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 14/10/2026 08:52 PM

Sekolah Di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka Dan Pahang Kembali Dibuka Esok

Sekolah Di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka Dan Pahang Kembali Dibuka Esok

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka serta Pahang kembali dibuka dan beroperasi seperti biasa esok. 

Di SELANGOR, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memaklumkan pengoperasian sekolah di negeri itu akan mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah.

“Murid digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga. Ibu bapa atau penjaga yang bimbang akan tahap kesihatan anak-anak untuk hadir ke sekolah berikutan keadaan jerebu, boleh memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

“Bagaimanapun, mereka hendaklah memaklumkan ketidakhadiran anak kepada pihak sekolah,” menurut JPN Selangor dalam kenyataan hari ini. 

Di NEGERI SEMBILAN, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) mengingatkan pihak sekolah agar sentiasa memantau kualiti udara, mematuhi garis panduan yang berkuat kuasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kesihatan murid terpelihara.

“Semua aktiviti luar bilik darjah seperti Pendidikan Jasmani, kokurikulum, sukan, perkhemahan, keraian, perhimpunan serta aktiviti di dewan terbuka hendaklah dihentikan apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100,” menurut kenyataan JPNS.

Di MELAKA, JPN memaklumkan institusi pendidikan di bawah KPM beroperasi semula esok tertakluk kepada pengesahan rasmi pihak berkuasa berhubung perkembangan terkini bacaan IPU.

Sehubungan dengan itu, pentadbir institusi pendidikan diminta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kelancaran pengoperasian serta mematuhi arahan KPM, dengan semua aktiviti luar bilik darjah dan perhimpunan dihentikan serta-merta.

“Murid digalakkan memakai pelitup muka dan kerap minum air. Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya terus memantau tahap kesihatan anak dan mendapatkan rawatan sekiranya mereka mengalami gejala berkaitan pencemaran udara.

“Sebarang perubahan arahan pengoperasian akan dimaklumkan melalui laman Facebook rasmi JPN Melaka,” menurut kenyataan itu.

Situasi sama turut direkodkan di PAHANG, selepas JPN memaklumkan sekolah di Pekan, Kuantan, Rompin, Temerloh, Maran, Bera dan Bentong akan beroperasi esok.

Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek mengumumkan semua sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup hari ini susulan situasi jerebu yang melanda negara.

Penutupan itu turut melibatkan sekolah di beberapa daerah di Selangor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dalam kenyataan petang ini memaklumkan, semua institusi pendidikan bawah KPM di Kuala Lumpur akan beroperasi secara bersemuka seperti biasa esok, namun semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan.

Jabatan itu memaklumkan ibu bapa atau penjaga yang bimbang akan tahap kesihatan anak mereka boleh memilih untuk tidak hadir ke sekolah, namun perlu memaklumkan perkara itu.

“Murid yang hadir ke sekolah pula digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga susulan  keadaan jerebu semasa,” menurut kenyataan itu.

JPWPKL menasihatkan semua pihak terus peka terhadap perkembangan semasa dan mematuhi nasihat pihak berkuasa berkaitan keadaan jerebu.

Menurut jabatan itu keselamatan, kesihatan, kesejahteraan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaannya.

Di JOHOR, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dalam kenyataan memaklumkan semua sekolah di seluruh negeri itu kekal ditutup esok.

Menurut JPNJ, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan mengikut kaedah bersesuaian, dengan mengambil kira keupayaan dan akses murid serta guru.

-- BERNAMA