Berita Terkini
Kemelut Negeri Sembilan: Ismail Selesai Menghadap Tuanku Muhriz
SEREMBAN, 29 Sept (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim selesai menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini selepas berada hampir tiga jam di istana berkenaan.
Ismail tiba kira-kira 10.50 pagi tadi, manakala kenderaan membawa Tuanku Muhriz dilihat meninggalkan istana kira-kira 2.30 petang.
Difahamkan, kenderaan Menteri Besar keluar terlebih dahulu, namun tidak melalui pintu pagar utama istana berkenaan.
Terdahulu, turut dilihat memasuki istana berkenaan ialah kenderaan Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid.
Pertemuan itu difahamkan susulan isu berkaitan pentadbiran serta kemelut semasa di negeri ini.
Pengamal media mula berkumpul di hadapan istana tersebut kira-kira 10 pagi tadi bagi mengikuti perkembangan semasa.
Sebelum ini, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang berkuat kuasa pada 20 Sept dan pembatalan itu diwartakan pada 24 Sept.
Exco berkenaan ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Kemelut Negeri Sembilan: Menteri Besar Menghadap Tuanku Muhriz Hari Ini
- Bekas Exco Negeri Sembilan Terima Arahan Pulangkan Kenderaan Rasmi
- Kemelut N.Sembilan: Bekas Exco Tiba Di Menara MAINS, Beri Keterangan Polis
- Kerajaan Negeri Sembilan Mesti Terus Berfungsi Seperti Biasa - Jalaluddin
- Ahmad Zahid Adakan Mesyuarat Bersama-sama ADUN BN N.Sembilan Malam Ini