Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 28/09/2026 12:52 AM

Kerajaan Negeri Sembilan Mesti Terus Berfungsi Seperti Biasa - Jalaluddin

Kerajaan Negeri Sembilan Mesti Terus Berfungsi Seperti Biasa - Jalaluddin
Datuk Seri Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan mesti terus berfungsi seperti biasa bagi memastikan kesejahteraan dan kepentingan rakyat tidak terjejas susulan kemelut semasa yang melanda negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata perkara berkenaan menjadi inti pati utama mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan di Menara Dato’ Onn, di sini malam ini.

“Inti pati perbincangan ialah kerajaan Negeri Sembilan mesti berjalan seperti biasa untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat.

“Hal itu yang mesti diberi tumpuan dan insya-Allah daripada perbincangan yang panjang lebar, akan ada satu pendekatan supaya pihak kerajaan berjalan seperti biasa untuk kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat itu.

Ketika ditanya situasi kerajaan negeri yang akan meneruskan pentadbiran tanpa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Jalaluddin berkata terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan.

“ … tentunya Menteri Besar mempunyai formula tertentu untuk menggerakkan jentera kerajaan supaya agenda berkaitan dengan kepentingan rakyat dapat diteruskan,” katanya.

Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata mesyuarat malam ini turut dihadiri pengerusi penyokong kerajaan BN dan Perikatan Nasional, manakala beliau hadir atas kapasiti Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.

Antara yang hadir dalam mesyuarat khas lebih dua jam itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga ADUN Juasseh Datuk Ismail Lasim, ADUN Chembong Datuk Zaifulbahri Idris, ADUN Linggi Datuk Mohd Faizal Ramli dan ADUN Sikamat Datuk Razali Abu Samah.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata mesyuarat khas itu diadakan bagi mengkoordinasikan dan mengenal pasti penyelesaian terbaik terhadap kemelut berkenaan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Peraturan-Peraturan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta adat Negeri Sembilan, tanpa berniat mencampuri urusan negeri.

Beliau turut memberikan mandat penuh kepada Ismail untuk mencari penyelesaian terbaik termasuk menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta pimpinan hierarki adat lain, selain berpandangan pengisytiharan darurat politik tidak diperlukan memandangkan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di negeri itu terkawal.

-- BERNAMA