Berita Terkini
Bekas Exco Negeri Sembilan Terima Arahan Pulangkan Kenderaan Rasmi
SEREMBAN, 28 Sept (Bernama) -- Bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan telah menerima arahan untuk memulangkan kenderaan rasmi milik kerajaan negeri, kata bekas Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital Datuk Mohd Asna Amin.
Beliau berkata telah menerima surat arahan tersebut hari ini daripada Setiausaha Kerajaan Negeri dan mematuhi arahan berkenaan.
“Kenderaan rasmi, saya tidak gunakan lagi, tetapi memang tadi ada menerima surat...diminta memulangkan kenderaan, jadi kami kena keluarkan semua barang”, katanya kepada pemberita selepas selesai memberikan keterangan kepada pihak polis Bukit Aman di Menara Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), di sini hari ini.
Pembatalan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan berkuat kuasa pada 20 Sept, diwartakan atas perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Dalam pada itu, Mohd Asna berkata beliau dan barisan bekas Exco lain memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam sesi rakaman keterangan, bagi membantu siasatan berhubung kemelut pentadbiran dan institusi diraja di negeri ini.
Beliau berkata sesi rakaman keterangannya berlangsung lebih 30 minit, manakala bekas Exco lain turut menjalani sesi rakaman percakapan secara berasingan, bermula 11 pagi hingga 2 petang tadi.
Selain Mohd Asna, bekas Exco kerajaan negeri lain terdiri daripada Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Mustapha Nagoor, Datuk Zaifulbahri Idris, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Datuk Razali Abu Samah dan Mohd Fairuz Mohd Isa.
Sementara itu Mohd Fairuz merupakan bekas Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan berkata beliau memberi keterangan kira-kira dua jam kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail semalam dilaporkan berkata polis memanggil bekas Exco Negeri Sembilan, untuk merekodkan keterangan bagi membantu siasatan ekoran kemelut pentadbiran dan institusi diraja itu, susulan beberapa laporan polis yang dibuat berhubung isu berkenaan.
Selain bekas Exco, pihaknya turut akan mengambil keterangan daripada beberapa saksi dan individu lain yang berkaitan, bagi melengkapkan siasatan kes.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Kemelut N.Sembilan: Bekas Exco Tiba Di Menara MAINS, Beri Keterangan Polis
- Kerajaan Negeri Sembilan Mesti Terus Berfungsi Seperti Biasa - Jalaluddin
- Ahmad Zahid Adakan Mesyuarat Bersama-sama ADUN BN N.Sembilan Malam Ini
- Polis Akan Panggil Bekas Exco Negeri Sembilan Untuk Rakam Keterangan - KPN
- Kemelut Negeri Sembilan: Hormati Perlembagaan Persekutuan Dan Negeri, Kedaulatan Undang-Undang - G25 Malaysia