Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 27/09/2026 02:00 PM

Kemelut Negeri Sembilan: Hormati Perlembagaan Persekutuan Dan Negeri, Kedaulatan Undang-Undang - G25 Malaysia  

Kemelut Negeri Sembilan: Hormati Perlembagaan Persekutuan Dan Negeri, Kedaulatan Undang-Undang - G25 Malaysia  
Bangunan Pejabat Dewan Keadilan Undang Negeri Sembilan di Seremban.

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- G25 Malaysia hari ini menggesa semua pihak menghormati  Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri serta kedaulatan undang-undang dalam menyelesaikan kemelut berhubung kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menurut pertubuhan masyarakat sivil itu, pihaknya menyokong penuh kedudukan sah Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, sambil menekankan bahawa sebarang cabaran terhadap kedudukan berkenaan perlu diselesaikan mengikut Perlembagaan Negeri, adat dan undang-undang.

“Kami di G25 berasa bimbang dengan perkara ini kerana tindakan meminta seorang raja dilucutkan daripada kedudukannya merupakan kesalahan serius. Ia perbuatan menderhaka,” menurut kumpulan yang terdiri daripada bekas penjawat awam dan individu berpengalaman luas dalam pelbagai bidang itu, dalam kenyataan hari ini.

Mengikut Seksyen 121B Kanun Keseksaan, perbuatan menderhaka boleh dihukum dengan hukuman penjara mandatori minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan ia juga kesalahan menghasut di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Kumpulan itu menggesa pihak berkuasa, termasuk Peguam Negara supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan menderhaka dan menghasut, khususnya mereka yang melakukan kesalahan berkenaan secara terbuka dan terang-terangan, tanpa mengira status mereka. 

“Kesucian Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri serta kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan. Jika tidak ia akan beransur-ansur merosakkan undang-undang dan ketenteraman, yang kini mula kita saksikan dan rasai,” menurut kenyataan itu.

G25 turut menyambut baik kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 Sept, yang menyatakan bahawa keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan mengenai kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan adalah tidak sah.

Menurut G25 Malaysia,  AGC telah menjelaskan bahawa Menteri Besar dan anggota MMKN tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, sambil menambah kesahan dan kesan proklamasi berkenaan hendaklah ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.

G25 turut menggesa Menteri Besar menjelaskan dakwaannya bahawa beliau telah dipaksa menandatangani proklamasi pada 3 Ogos, termasuk identiti individu yang didakwa memaksanya.

“Beliau juga perlu menjelaskan pendiriannya yang bercanggah yang dinyatakan pada 16 Sept 2026, mengenai ‘kesahihan’ proklamasi berkenaan. Pendirian yang berubah-ubah itu perlu dijelaskan. Masyarakat berhak mengetahui perkara sebenar,” menurut kumpulan itu.

-- BERNAMA