Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 24/09/2026 05:49 PM

Akur Titah Tuanku Muhriz, Kemukakan Senarai Exco Baharu - AMH Negeri Sembilan

Akur Titah Tuanku Muhriz, Kemukakan Senarai Exco Baharu - AMH Negeri Sembilan
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir

SEREMBAN, 24 Sept (Bernama) -- Angkatan Muda Harapan (AMH) Negeri Sembilan meminta Menteri Besar Datuk Ismail Lasim akur titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dengan mengemukakan senarai calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu.

AMH Negeri Sembilan dalam kenyataan hari ini berkata Menteri Besar perlu mengemukakan senarai calon EXCO baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku menurut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

“Tidak sepatutnya wujud lagi kekeliruan mengenai langkah yang perlu diambil. AMH Negeri Sembilan berpandangan bahawa kemelut ini tidak seharusnya terus dipanjangkan sehingga menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri dan keyakinan rakyat.

“Menteri Besar sendiri dalam kenyataan terbaharunya menegaskan tanggungjawab kerajaan negeri adalah memastikan pentadbiran terus berjalan, rakyat terus diberikan perkhidmatan dan kemuliaan Institusi Adat serta Raja Negeri Sembilan terus dipelihara,” menurut kenyataan itu.

AMH Negeri Sembilan berpandangan perkara itu bukan mengenai siapa menang atau kalah dalam pertikaian politik namun lebih penting ialah memastikan pentadbiran Negeri Sembilan dapat kembali berjalan secara jelas, teratur dan stabil.

“Rakyat Negeri Sembilan tidak seharusnya terus dibebankan dengan ketidaktentuan yang berpanjangan. Tamatkan kebuntuan dan kembalikan kestabilan pentadbiran Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.

Ismail hari ini memohon pihak berkuasa mempertimbangkan semula arahan larangan terhadap bekas Exco yang dibatalkan lantikan mereka oleh Tuanku Muhriz baru-baru ini daripada memasuki pejabat dan menjalankan semula tugas pentadbiran dengan mengambil kira keperluan urusan kerajaan negeri serta kepentingan rakyat. 

-- BERNAMA